View: 1120|Reply: 0
|
[Melaka]
Chetti Melaka pakai baju cekak musang, kebaya sambut Deepavali
[Copy link]
|
|
K.Suppiah Pillay dan isteri, Santha Devi memasukkan juadah ke dalam bekas sebagai persediaan menerima tetamu menjelang Deepavali esok ketika ditemui di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka. Gambar kanan menunjukkan Gaya Raja Tamby Pilly berhias untuk sambutan Deepavali esok.
MELAKA – Persediaan menyambut Deepavali bagi 200 masyarakat Chetti tahun ini dilakukan secara sederhana berikutan kenaikan harga barangan.
Perbezaan masyarakat Chetti di Jalan Gajah Berang di sini dengan kaum beragama Hindu lain ialah mereka masih mengekalkan dengan cara hidup yang lebih kepada pengaruh orang Melayu.
Sebagai golongan minoriti bersama Portugis dan Baba Nyonya, mereka hidup aman damai di dalam 25 buah rumah di kampung berkenaan walaupun dikelilingi pembangunan pesat di tengah bandar.
Seorang penduduk K. Suppiah Pillay, 74, berkata, persiapan yang dilakukan amat sederhana kerana rumahnya sudah dihiasi sebelum ini.
Katanya, apa yang penting ialah menjamu sanak-saudara dan kenalan yang akan datang menziarah esok.
“Makanan yang disediakan oleh masyarakat Chetti semuanya halal dan boleh dimakan oleh orang Islam kerana sejak dari zaman moyang lagi banyak perkara kita mengikut orang Melayu.
“Kami sediakan juadah tart nanas, putu kacang, kuih belanda, sesagun, kek dan sebagainya.
“Ayam yang kita beli di pasar pula yang dijual oleh orang Melayu. Kita tidak pernah beli ayam selain daripada orang Melayu kerana ini adalah adat budaya kaum Chetti sejak dulu lagi,” katanya.
Menurut Suppiah, selain itu masakan yang turut disediakan seperti kari ayam, kari kambing, rendang ayam dan aram jada iaitu masakan campuran pelbagai jenis sayuran yang akan dihidangkan pada pagi sambutan Deepavali.
“Hidangan tradisi tosei tetap kita buat kerana tidak meriah tanpa makanan ini apabila setiap kali kedatangan Deepavali,” ujarnya.
Selain itu, katanya, pada pagi Deepavali kaum lelaki akan mengenakan hiasan kepala yang dikenali sebagai ‘talapa’, baju panjang cekak musang dan kain pelikat berbanding masyarakat India yang lazimnya memakai pakaian tradisional India iaitu dhoti.
Bagi wanita pula katanya, mereka akan mengenakan baju kebaya pendek atau baju panjang, kain batik, sapu tangan dan kasut manik.
Raja Tamby Pilly, 70, pula berkata, dia tidak membuat persiapan besar menyambut kedatangan perayaan itu kerana hidup seorang diri.
Katanya, persiapan tetap dilakukan cuma tidak semeriah sebelum ini.
“Kemuncak Deepavali bagi saya adalah apabila saudara-mara dan rakan-rakan daripada pelbagai bangsa dan agama datang ke rumah.
“Saya masih ada lima beradik yang menceriakan sambutan Deepavali saya,” ujarnya.
Katanya, kuih yang disediakan ialah tart nanas iaitu juadah paling digemarinya selain dia mampu membuatnya untuk dihidangkan kepada mereka yang akan berkunjung ke rumahnya nanti.
Ujarnya, dia hanya baju panjang cekak musang, topi (talpah), kain pelikat dan capal kerana itu adalah tradisi yang diwarisi.
“Sebenarnya kehidupan masyarakat Chetti lebih terdedah kepada cara hidup orang Melayu dari segi berpakaian dan juadah makanan termasuk kuih yang disediakan,” ujarnya.
https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... a-sambut-deepavali/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|