|
SUZILAWATI Samaon dan suami bersama empat beradik yang dijaga sementera ketika ditemui di Bagan Datuk, semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
BAGAN DATUK: Masalah rumah tangga sehingga membawa kepada perceraian menyebabkan seorang wanita tidak mampu untuk menyara empat anaknya yang masih kecil, lalu bersetuju anak-anaknya itu dijaga sementara oleh orang lain.
Wanita yang enggan namanya didedahkan berkata, itu lebih baik berbanding jika anak-anaknya itu hidup terbiar tanpa arah tujuan kerana tidak mempunyai tempat tinggal.
Malah, wanita itu bersyukur apabila melihat keadaan anak-anaknya yang dijaga dengan baik oleh sepasang suami isteri di sini yang kisahnya disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini.
“Saya sudah bercerai dengan suami, saya tiada rumah untuk kami tinggal. Saya bersyukur kerana ada orang yang sudi menjaga sementara anak-anak saya.
“Saya suka melihat keadaan anak-anak saya yang sekarang lebih terjaga dan gembira tinggal bersama sepasang suami isteri d sini. Mereka menjaga anak-anak saya dengan baik dan berkawan dengan anak-anak mereka.
“Saya reda anak saya dijaga orang lain, saya cuba mencari kehidupan lain,” katanya.
Sebelum ini, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai seorang wanita di sini dan suaminya yang menjaga sementara empat beradik yang tiada tempat tinggal kerana simpati melihat keadaan mereka.
Wanita itu, Suzilawati Samaon, 45, menjaga sementara empat beradik itu yang masing-masing berusia 11, 8, 5 dan tiga tahun selepas melihat mereka merayau tanpa arah tujuan di pekan Bagan Datuk.
Suzilawati berkata, selepas laporan mengenai empat beradik itu disiarkan dalam akhbar ini, beberapa pihak datang melihat keadaan mereka dan mahu membantu.
Katanya, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal juga rakan-rakannya.
“Banyak pihak yang mahu membantu empat beradik ini. Pegawai JKM yang datang melihat keadaan mereka memberitahu akan mengambil kanak-kanak ini untuk ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak dalam masa terdekat.
“Ini lebih baik buat mereka supaya lebih terjaga kerana saya dan suami tidak mampu untuk menanggung mereka, kami juga ada lima anak sendiri,” katanya.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... -dijaga-orang-lain/ |
|