CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3757|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] 3 hari diseksa, minta RM1.9 juta jika mahu dilepaskan

[Copy link]
Post time 14-11-2023 11:01 AM | Show all posts |Read mode

WARTAWAN media antarabangsa warga Bangladesh (berbaju biru) ketika ditemui Harian Metro. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Seorang wartawan media antarabangsa warga Bangladesh mendakwa mengharungi detik hitam selepas diculik dan diseksa selama tiga hari oleh beberapa lelaki tempatan di sebuah rumah sekitar Klang, Selangor.

Lelaki berusia 30-an yang enggan dikenali itu berkata, sepanjang tempoh itu, dia dipukul, dirotan, diterajang di perut dan dikelar di bahagian tangan oleh beberapa lelaki tempatan yang meminta wang berjumlah RM1.9 juta daripadanya jika mahu dilepaskan.

Katanya, pada 7 November lalu tiga lelaki tempatan yang mengaku sebagai anggota sebuah agensi penguat kuasa datang ke rumahnya di Putrajaya kononnya bagi membantu siasatan berhubung satu kes membabitkan mangsa.

"Mereka datang ke rumah dan meminta saya ikut mereka ke pejabat kononnya ada laporan ke atas saya namun apabila saya meminta untuk melihat laporan suspek berkata perlu berjumpa 'pegawai' terlebih dahulu.



"Saya dibawa ke satu tempat di Shah Alam dan diarahkan untuk menaiki sebuah kereta BMW bersama beberapa lelaki lain dan di bawa ke kawasan hutan," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui, di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas menempuh perjalanan lebih satu jam mereka tiba di sebuah rumah sekitar Klang, Selangor dan suspek kemudian menunjukkan video memaparkan manusia disembelih dan mengugut akan melakukan perkara sama ke atas mangsa sekiranya permintaan mereka tidak dipenuhi.

"Saya sudah membuat pembayaran lebih RM50,000 (secara dalam talian) kepada mereka selepas saya ditumbuk, diterajang dan dikelar di bahagian lengan kiri.

"Keesokannya seorang daripada suspek membawa saya ke klinik untuk merawat luka dikelar dan ketika itu saya melarikan diri keluar dari klinik dan meminta bantuan namun tiada siapa yang membantu," katanya.

Mangsa berkata, dia cuba meminta bantuan orang awam namun tidak diendahkan dan akhirnya ditangkap semula kemudian dipukul oleh suspek terbabit kerana melarikan diri.

Katanya, pada hari ketiga ditahan mangsa cuba menjelaskan kepada lelaki yang menahannya bahawa suspek hanya menjadi kambing hitam yang dipergunakan oleh ahli sindiket jenayah membabitkan warga Bangladesh.

"Saya bertanya kepada salah seorang suspek, mengapa dia lakukan perkara seperti itu, kenapa sanggup dipergunakan oleh warga asing sedangkan dia sendiri rakyat Malaysia.

"Saya percaya kejadian ini terjadi susulan satu laporan akhbar yang saya terbitkan di Bangladesh berhubung kegiatan satu sindiket jenayah di Malaysia yang mengeksploitasi pekerja warga asing," katanya.

Menurutnya, suspek bersetuju melepaskan mangsa selepas mendengar penjelasan menyeluruh berkaitan perkara sebenar yang berlaku di sebalik penculikan itu.

Mangsa yang sudah hampir enam tahun bertugas sebagai wartawan di Malaysia berkata, dia percaya kesemua warga tempatan termasuk anggota penguat kuasa terbabit hanya dipergunakan oleh sindiket terbabit dan digula-gulakan dengan wang.

"Mendengar penjelasan itu suspek terbabit berubah fikiran dan melepaskan saya berhampiran sebuah bank di Kapar, Klang lalu saya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

"Sebelum itu laporan polis berhubung penculikan saya sudah dibuat di Gombak oleh anak saudara selepas gagal menghubungi saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

https://www.hmetro.com.my/utama/ ... ika-mahu-dilepaskan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

10-1-2025 06:09 PM GMT+8 , Processed in 0.552705 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list