View: 2234|Reply: 0
|
Syihan janji perbaiki kelemahan
[Copy link]
|
|
Syihan janji perbaiki kelemahan
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/MALAYSIA_MENENTANG_KYRGYZSvvTAN_1700379786.jpg)
Syihan bolos tiga gol ketika Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dengan persembahannya mendapat kritikan daripada segelintir penyokong. - NSTP/ASWADI ALIAS
SEPANG: Penjaga gol skuad kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed mahu memperbaiki kelemahannya selaku benteng terakhir Harimau Malaya apabila berdepan Taiwan dalam aksi kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Selasa ini.
Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menjelaskan aksi pertama Kumpulan D berdepan Kyrgyzstan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis lalu memberi pengajaran buat dirinya untuk tampil dengan persembahan lebih baik di Stadium Municipal, Taiwan nanti.
Malah, pemain berusia 27 tahun itu turut mengakui bahawa sebagai pemain bola sepak dia tidak boleh lari daripada kritikan terutama peminat yang mengharapkan keputusan terbaik daripada Harimau Malaya.
"Sebagai pemain kita tak boleh lari (dari kritikan), kita hanya buat kerja kita dan apa yang kurang atau apa yang harus diubah kita perlu ubah.
"Kalau boleh setiap penjaga gol memang tak nak bolos. Benda nak jadi kita tak boleh nak (ubah), kalau kita terlalu nak fokus (berhati-hati) sangat pun tak boleh," katanya sebelum berlepas ke Taiwan bersama pasukan, pagi tadi.
Syihan bolos tiga gol ketika Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dengan persembahannya mendapat kritikan daripada segelintir penyokong.
Selain itu, penjaga gawang kelahiran Kelantan itu menegaskan bahawa barisan pemain Harimau Malaya tidak boleh memandang mudah terhadap Taiwan walaupun pasukan itu berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia.
Katanya, perkara paling penting buat semua pemain adalah fokus dan memberikan persembahan lebih 100 peratus di atas padang untuk meraih kemenangan.
"Tidak kisah mana-mana pasukan pun, ranking mereka tinggi atau rendah kami tak boleh ambil mudah. Paling penting kami kena fokus dan bagi lebih 100 peratus.
"Sama ada perlawanan di tempat sendiri atau gelanggang lawan, paling utama kami nak kutip tiga mata untuk pastikan pasukan berada pada kedudukan lebih baik," katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... -perbaiki-kelemahan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|