|
Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki termasuk seorang pemerhati politik kerana disyaki terbabit dalam satu pergaduhan di sebuah restoran di Taman Midah, Cheras di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa membabitkan tiga lelaki dikatakan makan di restoran terbabit sebelum enam lelaki didakwa membaling kerusi ke arah mereka.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin, berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati berkaitan hantaran di media sosial membabitkan suspek dan mangsa.
"Susulan aduan kejadian, kita jalankan siasatan dan menahan enam suspek berusia lingkungan 30-an hingga 40-an di sekitar Cheras, semalam.
"Semua suspek direman dua hari sehingga esok dan siasatan masih dijalankan," katanya kepada media, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
Mengikut laporan terdahulu, dua daripada mangsa cedera ringan dalam kejadian itu.
Difahamkan, mangsa tidak pernah bertemu kumpulan suspek atau mempunyai masalah dengan mereka, selain berkemungkinan mereka tersalah orang.
Laporan menyebut pergaduhan berpunca daripada provokasi politik melampau sehingga menyentuh soal peribadi.
https://www.bharian.com.my/berit ... gaduh-baling-kerusi |
|