View: 6995|Reply: 0
|
[Johor]
Rumah dibaling bom, rakan guna alamat pinjam wang along Singapura
[Copy link]
|
|
CHAN (tengah) bersama isterinya, Siow (kanan) menunjukkan laporan polis dan gambar kediaman mereka yang terbakar akibat perbuatan along Singapura di Ibu Pejabat MCA Johor, hari ini.
JOHOR BAHRU – Sebuah keluarga yang menetap di Taman Rinting, Masai di sini hidup dalam ketakutan selepas sindiket along Singapura menyimbah cat dan membaling bom petrol di kediaman mereka, masing-masing pada 10 Januari dan semalam.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 58, berkata, kejadian itu berpunca selepas rakan lamanya yang mendaftar kad pengenalan menggunakan alamat kediaman mereka meminjam wang dolar Singapura sebanyak SGD1,100, awal bulan ini.
Katanya, hanya disebabkan itu, kediamannya bersama isteri dan dua orang anak yang berusia 18 dan 13 tahun itu telah menjadi sasaran sindiket along republik berkenaan.
“Saya sedih apabila mendapat tahu perkara ini, selepas rumah disimbah cat biru pada 10 Januari lalu, saya menelefon nombor telefon yang ditinggalkan sindiket itu untuk menjelaskan keadaan sebenar.
“Walaupun sudah diberitahu bahawa individu yang meminjam itu tidak tinggal di rumah kami, namun sindiket itu tetap memaksa kami membayar hutang berkenaan sebanyak SGD15,000.
“Kerana saya enggan bayar, mereka sekali lagi mengugut dengan membaling bom petrol menyebabkan pintu pagar dan bahagian tempat letak kereta rumah terbakar, semalam,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat MCA Johor, di sini hari ini.
Chan yang bekerja sebagai seorang pemandu lori di Singapura sejak lebih 20 tahun lalu itu turut memberitahu, rakannya menggunakan alamat kediaman untuk mengemas kini kad pengenalan pada tahun 2005 bagi memudahkan urusan surat menyurat.
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha MCA Johor, Chan San San memaklumkan, pihaknya telah menghubungi pihak polis dan meminta rondaan ditingkatkan di kawasan tersebut.
“Saya juga menggesa sindiket terbabit agar tidak membuat perkara yang menyalahi undang-undang negara ini. Jangan mengugut mana-mana individu apatah lagi mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan urusan pinjaman wang tersebut,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... ng-along-singapura/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|