View: 2289|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
APMM pantau 'jalur belakang' digunakan Pati
[Copy link]
|
|
Kuala Lumpur: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah menggandakan pemantauan di beberapa laluan dipanggil 'jalur belakang' yang digunakan pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk menceroboh perairan negara.
Menurutnya, selain meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan, pihaknya menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Maritim dan perisikan sudah mengenal pasti beberapa individu disyaki sebagai dalang kepada kegiatan menyeludup Pati.
"Agensi ini mengesan terdapat tawaran sindiket membawa keluar masuk Pati yang menggunakan laluan tidak sah malah terdapat sindiket membuat promosi 'jalur belakang' di media sosial seperti Facebook dan TikTok.
"Daripada pemantauan yang dibuat secara berterusan, didapati majoriti pengikut adalah dalam kalangan warga Indonesia," katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro, baru-baru ini.
Menurutnya, aset maritim seperti bot, kapal, pesawat udara dan radar sentiasa bersedia untuk mengesan dan memintas pergerakan mencurigakan yang datang dari dalam sempadan negara sendiri atau yang cuba menceroboh masuk.
Katanya, tidak dinafikan pihaknya ada mengesan pergerakan mencurigakan menggunakan laluan yang tidak diwartakan bagi tujuan penyeludupan migran atau lain-lain.
"Kebanyakan kes yang berjaya ditahan menunjukkan suspek mempunyai orang perantara, dalang atau sindiket di darat yang merancang pergerakan tekong dan bot bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.
"Satu aktiviti sindiket yang berjaya dipatahkan oleh APMM adalah kes penyeludupan Pati dalam Ops Dalal, baru-baru ini," katanya.
Sehubungan itu, APMM memberi amaran kepada mana-mana pihak yang bercadang untuk menggunakan laluan 'jalur belakang' supaya berfikir panjang dan tidak terpengaruh dengan janji manis tekong terbabit.
"Selain meningkatkan rondaan, APMM juga melaksanakan operasi khas di titik panas yang sudah dikenal pasti menjadi tumpuan tekong berkenaan.
"APMM mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan sogokan mana-mana pihak atau sindiket kerana lambat laun kegiatan mereka akan dapat dibongkar oleh pihak berkuasa," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kang-digunakan-pati |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|