|
BLAZER yang diperbuat daripada ekstrak daun ketapang dengan motif daun jarak produk unik yang dihasilkan pengasas Ghomah Batik Manjung. FOTO Ihsan Elizawati Ellias
Lumut: Bermodalkan daun pokok yang dikutip secara percuma, bekas pekerja bank mampu menjana pendapatan dengan memanfaatkan kreativitinya dalam penghasilan produk bermotif batik unik serta eksklusif.
Pengasas Ghomah Batik Manjung, Elizawati Ellias, 39, berkata, dia menggunakan daun pokok seperti jati, kulai, bakau, lemuni, jambu, sepang dan gelinggang yang mudah didapati dalam daerah Manjung, di sini untuk mencipta produk seperti blazer, baju t, tote bag, beg tangan, tudung, kusyen dan hiasan pejabat.
Menurutnya, ideanya terjun ke industri tekstil itu tercetus semasa beliau bergiat aktif dalam pertubuhan sukarelawan Sahabat Alam (SAM) pada 2018 yang memperjuangkan kelestarian alam sekitar menerusi kempen dan pendidikan di pelbagai peringkat masyarakat.
"Saya terfikir bagaimana saya hendak bantu menjaga alam sekitar. Dalam masa sama, saya memang minat terhadap seni batik. Itulah titik tolak saya mahu menghasilkan produk mesra alam berkualiti dan sifar bahan kimia.
"Saya menggunakan teknik tekapan terus daun-daunan atau bunga-bungaan ke atas fabrik dengan bahan fixer (pemati warna) seperti tawas, ekstrak soya dan jus lemon.
"Proses pembuatan setiap corak mengambil masa sehari hingga dua hari untuk memastikan warna diektrak daripada daun dan bunga terbentuk cantik di atas fabrik. Kemudian baru proses jahitan dijalankan untuk menghasilkan produk yang diinginkan," katanya.
TUDUNG yang juga dihasilkan mengikut motif daun jati. FOTO Ihsan Elizawati Ellias
Ibu seorang cahaya mata itu berkata, biarpun proses itu kelihatan singkat dan mudah, beliau sendiri mengambil masa tiga tahun mendapatkan formula terbaik bagi menghasilkan corak memuaskan.
Jelasnya, masa dan tenaga dikorbankan itu ternyata berbaloi apabila Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Laman Karya Lumut (LAKAR) dan United Nation Development Program (UNDP) menjalinkan kerjasama startegik bersama pihaknya bagi menyokong kelangsungan industri batik eko-cetak dirintisnya.
Malah, batik eko-cetak ini dijadikan produk pelancongan lestari daerah Manjung yang diperkenalkan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
"Melalui kerjasama itu, Unit Landskap MPM menyumbang mesin pemprosesan yang berfungsi memudah dan mempercepatkan kerja mengestrak corak daun atau bunga ke atas fabrik.
"Selain itu, hasil daun digunakan untuk mencipta produk ini MPM manfaatkan dengan memproses penghasilan baja kompos dan airnya pula saya difahamkan MPM gunakan untuk menyiram pokok landskap di sekitar daerah ini.
"Hasil kerjasama itu juga membolehkan UNDP menyalurkan dana kepada penggiat industri seperti saya manfaatkan menghasilkan produk mesra alam," katanya.
BEG tangan yang bermotifkan daun jati. FOTO Ihsan Elizawati Ellias
Elizawati berterima kasih kepada MPM yang mengambil inisiatif selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) peneraju flagship Ekonomi Pengalaman melalui segmen Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Tambahnya, agensi kreatif kerajaan negeri, People of Remarkable Talents (P.O.R.T) turut menyalurkan dana khusus menerusi flagship Ekonomi Pengalaman dalam segmen Semarak Warisan yang dimanfaatkan untuk menjalankan kursus bagi melatih golongan ibu tunggal untuk belajar menghasilkan batik dan berniaga.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bermodal-daun-pokok |
|