|
Raudzah (tengah) hadir bagi mendengar keputusan kes saman seorang pelajar terhadapnya, bersama guru besar sebuah sekolah dan kerajaan di Mahkamah Sesyen Sivil Selayang, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
SELAYANG: Mahkamah Sesyen hari ini menolak saman dikemuka seorang bekas murid Tahun Dua terhadap tiga pihak termasuk bekas guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) (1) Selayang Baru kerana memukulnya mengguna penyapu hingga menerima lima jahitan di kepala.
Bekas murid lelaki itu yang kini berusia 13 tahun selaku plaintif diwakili bapanya, Mohd Amirul Azdi Md Yusuf, 41, memfailkan saman terhadap bekas guru berkenaan, Raudzah Abdul Halim, 60; guru besar sekolah sama dan Kerajaan Malaysia yang masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.
Mohd Amirul (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Sivil Selayang, hari ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Hakim, Nor Rajiah Mat Zin, membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi, eksibit dan hujahan bertulis plaintif serta semua defendan.
"Mahkamah mendapati bahawa plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap defendan pertama, kedua dan ketiga. Oleh itu, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos RM5,000 kepada defendan pertama dan RM5,000 pada defendan kedua serta ketiga.
"Daripada keterangan saksi plaintif, murid itu berada di tempat kejadian dan ia tidak disokong oleh saksi lain yang berada di situ.
"Ia hanya disokong keterangan saksi plaintif iaitu pegawai penyiasat dan bapa plaintif yang tidak berada di tempat kejadian. Plaintif gagal membuktikan kesnya pada imbangan keberangkalian," katanya.
Prosiding dihadiri peguam bela plaintif, Azmer Md Saad, manakala peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim dan Mohd Zali Shaari mewakili Raudzah serta Peguam Kanan Persekutuan, Nur Aifaa Che Abdullah, bertindak bagi pihak guru besar dan kerajaan.
Sementara itu, Azmer ketika ditemui media berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atau esok.
Mengikut penyataan tuntutan pada 17 Oktober 2022, plaintif menyatakan dalam perjalanan kembali ke tempat duduknya dalam kelas, sebelum secara tiba-tiba guru itu memukul kepala mangsa menggunakan penyapu, kira-kira jam 3 petang pada 18 Oktober 2019.
Plaintif mendakwa dirinya cedera dan mengalami pendarahan banyak menyebabkan defendan itu menarik mangsa ke meja guru dan menekan kepalanya menggunakan tisu basah bagi menghentikan pendarahan.
Berikutan kejadian berkenaan, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Gombak sebelum ibu bapa plaintif dihubungi seorang guru yang memaklumkan mengenai kejadian berlaku.
Mangsa cedera pada kepala yang terpaksa dibalut bagi menutup luka dan menerima lima jahitan di klinik berkenaan.
Susulan itu, bapa plaintif membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada jam 6.45 petang hari sama dan memohon penjelasan daripada guru itu yang mengatakan bahawa mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduk ketika sesi pembelajaran dalam kelas.
Alasan itu disifatkan sebagai tidak munasabah, bercanggah undang-undang dan tidak berperikemanusiaan, selain mangsa mendakwa ketiga-ketiga defendan cuai dan menuntut ganti rugi am, khas, teladan serta teruk dan permohonan maaf secara bertulis.
Raudzah yang memfailkan penyataan pembelaan pada 20 Disember 2022 pula mendakwa tidak pernah memukul kepala plaintif atau murid lain menggunakan penyapu atau mana-mana bahagian penyapu.
Defendan pertama itu berkata, kecederaan dialami plaintif adalah akibat kenakalannya sendiri apabila terhantuk dan terkena bucu kayu tempat letak kapur papan hitam ketika bekas murid itu cuba meloloskan diri.
https://www.bharian.com.my/berit ... guru-dengan-penyapu |
|