|
Sepanjang penglibatan dua dekad penyanyi terkenal, Ziana Zain dalam industri hiburan tanah air, jarang sekali kita mendengar mengenai kontroversi atau kisah negatif yang menjengah pemilik nama Siti Roziana Binti Zain ini.
Bagi mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan industri hiburan tempatan, pasti anda sudah mengetahui mengenai kontroversi hangat yang menimpa pelantun lagu Madah Berhelah ini.
Ziana dikatakan nekad meninggalkan sesi fotografi majalah fesyen, gaya hidup, hiburan dan kecantikan, Eh! sehingga tindakannya itu mengejutkan mereka yang berada di situ. Selain Ziana, artis lain yang terlibat untuk penggambaran muka depan majalahg tersebut ialah Erra Fazira, Ning Baizura dan Fauziah Latif.
Menerusi artikel ‘Drama DIVA Made In Eh!’ keluaran Mac 2011, tindakan beliau dianggap oleh penulis majalah tersebut sebagai tidak profesional dan terlalu mengikut emosi. Antara keratan artikel tersebut berbunyi :
“Apabila kita terlalu emosional kita akan hilang pertimbangan dan bertindak di luar profesionalisme. Masih banyak cara untuk mengatasinya. Soalnya Ziana tidak memberi ruang untuk warga kerja Eh! berbuat demikian.”
“Ada bertanya, antara keempat-empat Diva ini, siapa yang lebih kertu, tetapi kami tidak anggap Ziana yang sudah 43 tahun itu kertu (kecuali dia meletakkan dirinya kertu). Justeru itu, kalau kita lihat majalah tidak pernah menuakan Ziana (kecuali Ziana sendiri).
“Ketika warga kerja Eh! mencari kedudukan yang sesuai untuk setiap seorang (ini penting kerana Ziana dan Ning berkulit gelap manakala Erra dan Fauziah cerah), tiba-tiba Ziana berlalu meninggalkan set sambil berkata “this is worng…”Dia membuatkan warga kerja Eh! yang sedang mengatur kedudukan terpempan.”
Perkara ini sudah tentu mengejutkan seluruh peminat diva tersohor ini memandangkan Ziana sebelum ini dikenali sebagai seorang yang profesional. Kesempatan bertemu dengan Ziana sempena majlis pelancaran kempen Antabax di PWTC tengahari tadi memberi peluang kepada penyanyi ini menjelaskan perkara sebenar mengenai kemelut yang melanda.
“Susah nak cerita. Saya tak pernah buat benda yang mengejutkan semua orang sepanjang 20 tahun penglibatan saya dalam industri. Sudah lumrah sifat manusia suka menyalahkan orang lain dan sudah tentu orang akan nampak saya yang salah besar. Kalau boleh saya tak nak banyak bercakap.
“Hidup saya ada prinsip di mana ada yang boleh dan tidak boleh dalam kerjaya saya. Bagi saya, imej merupakan perkara yang utama. Saya mewakili peminat dari umur muda hingga tua, jadi saya kena peka dengan pakaian saya. Dari segi pakaian sangat penting kerana ia mencerminkan diri kita dan semestinya saya kena memilih pakaian yang sesuai dengan status saya sebagai seorang ibu.
“Pada sesi fotografi tersebut, mereka menyuruh saya menggayakan pakaian ‘bareback’ rekaan Dior di mana ia mendedahkan bahagian belakang saya. Bagi saya, pakaian itu sesuai dengan golongan remaja dan tidak kena dengan imej saya. Jangan kerana baju berjenama dan sesuai, saya kena pakai baju itu. Ini bukan Hollywood dan saya tak nak jadi mangsa fesyen,”kata Ziana meluahkan isi hatinya.
“Bukan saya saja berada di situ. Erra serta Ning juga ada dan mereka juga mengadu mengenai perkara yang sama. Bukannya pihak sana tidak menyediakan pilihan baju yang lain, tapi baju yang ada pun semua sama jenis. Mereka selalu ingat mereka urban dan nak bekerja macam Hollywood tapi sebenarnya mereka tak peka kerana bukan semua orang boleh terima perkara ini,”tambah Ziana yang pernah menjadi penghias muka depan Eh! edisi Ogos tahun lalu.
“Saya tunggu malah pakai baju tersebut dengan kanta lekap yang membuatkan mata saya bengkak dan merah. Tapi, yang membuat saya marah bila mereka cakap saya meninggalkan set. Bagi saya, orang boleh tulis dengan emosi tapi yang ada di situ faham apa sebenarnya terjadi.
“Dah 20 tahun dalam industri, kita tak bodoh dan sudah tentu kita tak nak cari susah sebab kita tahu industri ini tak sebesar mana. Saya tak pernah mengadu sebab itu kerja saya, tapi bila jadi macam ini mereka marah. Saya tak layan benda bodoh ini kerana bagi saya, jika mereka nak kita bawa benda apa-apa, kita tak kisah dan boleh bawa.
“Mereka ada panggil untuk ‘reshoot’, tapi semua tak ada masa. Bila ada masa, mereka tak nak gunakan sepenuhnya. Bagi saya, mereka yang tidak profesional. Sehingga hari ini, pihak mereka tidak meminta maaf malah saya sendiri yang minta maaf kepada mereka masa itu. Saya tak keluar macam itu saja kerana masih ada rasa hormat pada mereka.
“Saya idola kepada masyarakat, jadi saya kena jaga pemakaian saya. Saya rasa sungguh tidak berpuas hati. Pertama kali dalan seumur hidup, saya tak pernah buat kerja bodoh ini kerana saya hormat semua orang.
“Saya tak nak imej yang saya bina selama ini jatuh macam itu saja. Hidup saya memang ada prinsip. Saya betul-betul kecewa tapi tidak marah. Cuma saya agak terkilan,”kata Ziana sambil menangis tidak menahan sebak.
“Gelaran diva yang orang beri kepada saya merupakan tanggungjawab besar yang perlu digalas. Selama 20 tahun, tak pernah saya kena macam ini. Isu ini paling menguji kesabaran saya. Dunia ini kecil, jadi saya tak nak sengketa ini berpanjangan,”ujar Ziana mengakhiri perbualan.
Ekoran insiden tersebut, penghias muka depan yang sepatutnya diserikan oleh Ziana, Erra dan Ning telah digantikan dengan Dayang Nurfaizah, Mizz Nina, Misha Omar dan masih mengekalkan Fauziah Latiff. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|