JELI - Akok Belahat yang dibakar seawal jam 7.30 pagi sehingga 5 petang menggunakan kayu getah membuatkan ada dalam kalangan penggemar makanan tradisi Kelantan dari Kota Bharu itu sanggup memandu kira-kira 100 kilometer (km) untuk mendapatkannya.
Mana tidaknya, pembakaran menggunakan kaedah tradisional itu menjadikan kuih tersebut lebih sedap, lembut dan lemak berbanding cara moden.
Perkara itu diakui sendiri oleh pembantu utama, Wan Mohd Firdaus Wan Ghazali yang mendedahkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi tempahan sepanjang Ramadan.
Wan Mohd Firdaus berkata, setiap hari sepanjang Ramadan sebanyak 600 hingga 1,000 biji akok yang dihasilkan.
"Seminggu akhir Ramadan ia akan meningkat sehingga lebih 5,000 biji sehari.
"Akok di sini dijual dengan harga RM2 tiga biji dan mula dibakar pada jam 7.30 pagi hingga 5 petang," katanya kepada pemberita.
Akok Belahat yang dibakar seawal jam 7.30 pagi sehingga 5 petang menggunakan kayu getah membuatkan ada dalam kalangan penggemar makanan tradisi Kelantan dari Kota Bharu sanggup memandu kira-kira 100 kilometer (km) untuk mendapatkannya.
Menurutnya, akok tersebut telah dijual sejak 30 tahun lalu dan sehingga hari ini ia menjadi pilihan utama penduduk di Kelantan terutama perantau.
Ujarnya, walaupun terletak di pedalaman dan jauh dari jalan utama Jeli-Grik namun peminat kuih tradisional ini tetap gagah memandu ke kedai tersebut.
Wan Mohd Firdaus memberitahu, untuk mengelakkan pelanggan hampa datang dari jauh pihaknya mengehadkan setiap pembelian bagi memastikan semua dapat merasa.
"Untuk pembelian lebih 20 biji ke atas kami galakkan buat tempahan awal.
"Paling jauh setakat ini pelanggan kami ialah dari Sabah dan Sarawak yang akan menerbangkan akok Belahat menggunakan kapal terbang," katanya.