View: 7206|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Alga punca kupang, kerang di Port Dickson tidak selamat dimakan
[Copy link]
|
|
WAN Muhammad Aznan Abdullah (kiri) dan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe pada sidang akhbar di Pusat Ikan Hiasan, Jabatan Perikanan di Port Dickson hari ini. MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!
PORT DICKSON – Kupang di perairan daerah ini khususnya di kawasan Sungai Sekawang dan Kampung Telok di Pasir Panjang disahkan dicemari biotoksin berbahaya.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, hasil analisis yang dijalankan mendapati terdapat tiga alga berbahaya iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium serta Pseudonitzschia.
Katanya, keputusan itu diperoleh hasil analisis makmal yang dijalankan oleh makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan dengan melakukan pengujian secara berkala mengikut Prosedur Koperasi Standart (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurangan dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan.
“Kupang atau kerang-kerangan di perairan ini (Port Dickson) tidak selamat dimakan dan kita sarankan masyarakat tidak mengambil kerangan (kupang, lokan, kerang dan lala) di sini. Kita ambil sela masa sesuai kira-kira 20 hari (larangan ini) untuk memastikan kerangan selamat dimakan serta analisis berikutnya untuk pengesahan kerangan selamat dimakan.
“Ikan di perairan lain selamat di makan dan kejadian keracunan kerangan di Port Dickson ini juga kita dapati bukanlah disebabkan pencemaran, sebaliknya disebabkan alga berbahaya yang mana keadaan cuaca panas terik ini menjadi antara faktor alga ini cepat membiak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena sidang media di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ketika mengulas kejadian keracunan kupang atau kerangan di negara ini, Wan Muhammad Aznan memaklumkan pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kejadian keracunan kupang dari negeri-negeri lain.
Bagaimanapun menurut beliau, susulan kejadian tersebut, pihaknya telah pun membuat kajian sampel bagi kerangan di perairan Melaka dan Johor.
“Setakat ini, hanya di Port Dickson sahaja, namun ini kali pertama berlaku di sini. Kejadian keracunan ini pernah berlaku lebih 10 tahun lalu di negara ini, namun disebabkan kandungan logam berat dan bukanlah dari alga berbahaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... ak-selamat-dimakan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|