CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3729|Reply: 0

[Terengganu] Tragedi ragut nyawa suami dan 2 anak, 1 Syawal disambut suram

[Copy link]
Post time 10-4-2024 03:43 PM | Show all posts |Read mode
Tragedi ragut nyawa suami dan 2 anak, 1 Syawal disambut suram


Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli - April 10, 2024 @ 11:45am [email protected]




Norhafizah Sazwa bersama Ammzar Hussniah Ammir Hussein dan Ammzar Hussnina Al Hussein. - Foto ihsan Norhafizah Sazwa




CHUKAI: Selepas kehilangan suami dan dua anak termasuk seorang bayi akibat nahas jalan raya pada September tahun lalu, ketibaan 1 Syawal hari ini dirasakan suram oleh Norhafizah Sazwa Harun.

Peristiwa hitam pada 15 September lalu itu meragut nyawa suaminya, Ammir Hussein Mohamad, 38, serta dua anak, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, dan Ammzar Hussnayan Al Hussein yang berumur setahun.

Kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 154, Jalan Jerangau-Jabur, berhampiran Hentian Sebelah Bandar Cheneh Baru, menyebabkan Norhafizah Sazwa yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dan sedang sarat mengandung tujuh bulan ketika itu, mengalami kecederaan di perut.

Anak angkat mereka, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim yang berumur lapan tahun ketika itu pula dilaporkan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Norhafizah Sazwa, 39, dari Kampung Bukit Kuang Permai, berkata beliau kemudian selamat melahirkan Ammzar Hussnina Al Hussein Ammir Hussein pada 21 Disember 2023.

"Sebelum ini, kami sekeluarga akan beraya sakan tetapi Aidilfitri tahun ini hanya disambut secara sederhana.

"Hati merindui suami dan dua anak yang sudah pergi, namun saya perlu kuatkan semangat demi dua anak lagi.

"Hari Raya kali ini disambut suram. Kami merindui mereka, terutama keletah arwah Ammzar Husszair yang biasanya paling teruja menyambut Hari Raya. Gelagat arwah yang suka mencuba baju dan kasut raya hanya mampu dikenang sekarang," katanya.

Pada Hari Lebaran kali ini, Norhafizah Sazwa berkata, beliau tidak menyediakan juadah istimewa kesukaan arwah suami, iaitu nasi impit serta kuah nasi dagang.

"Kebiasaannya, juadah itu wajib disediakan setiap tahun kerana arwah suami sangat menggemarinya.

"Juadah itu akan membuatkan saya teringat-ingat arwah suami. Oleh itu, ia tidak disediakan kali ini walaupun saya dan Ammzar Hussniah turut menggemarinya.

"Sebelum ini, arwah suami yang menguruskan baju raya kami sekeluarga, termasuk menggosoknya, tetapi sekarang ia perlu disediakan sendiri," katanya yang kini meneruskan perniagaan sabun pencuci pakaian melalui laman sosial.

Norhafizah Sazwa berkata, beliau dan dua anak masih tinggal bersama bapanya di Kampung Gong Pauh.

"Sejak tragedi itu, saya tidak lagi tinggal di rumah sendiri, sebaliknya lebih selesa tinggal bersama ayah," katanya.

Bercerita lanjut, beliau masih mengingati pesan arwah suami supaya meneruskan amalan bersedekah tanpa mengira waktu.

"Justeru, setiap kali merindui arwah suami, saya akan menunaikan pesanannya dan dengan cara itu, saya dapat melepaskan rindu," katanya.







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-12-2024 12:35 AM GMT+8 , Processed in 0.490708 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list