Kuala Terengganu: Aidilfitri tahun ini cukup istimewa buat pasangan bisu dan pekak dari Kampung Chendering, di sini, apabila menyambut 1 Syawal bersama puteri sulung mereka.
Mohamed Asraq Mohamed Asali, 26, berkata, dia dan isteri, Wan Nur Fakhrul Iffah Ismail, 26, menyambut hari raya bersama anak sulung, Nur Aisya Suffiya Mohamed Asraq, 13 bulan, di Pasir Pekan, Kelantan.
Katanya, sambutan raya tahun ini lebih bermakna dengan kehadiran puteri sulung mereka itu.
"Persiapan hari raya kali ini lebih tertumpu kepada anak kerana kami ingin melihat anak tampil cantik di hari raya.
"Walaupun kami pasangan berstatus orang kurang upaya (OKU) namun kami juga pentingkan penampilan yang menarik di hari raya," katanya melalui temuramah melalui WhatsApp, hari ini.
Katanya, urusan penjagaan anaknya lebih mudah apabila turut dibantu ahli keluarga.
"Pengalaman pertama menjaga anak kecil memang mencabar bagi kami tetapi dengan bantuan keluarga dan keluarga mentua semuanya berjalan lancar.
"Kami tidak dapat pastikan sama ada anak mengalami masalah sama seperti kami atau sebaliknya kerana anak masih kecil.
"Bagaimana pun kami berharap dia normal dan dapat membesar seperti kanak-kanak yang lain," katanya.
Menurutnya, anaknya itu akan dijaga keluarga mentuanya di Kelantan buat sementara waktu kerana mereka dalam proses berpindah ke rumah baharu.
"Sedih juga kerana terpaksa berpisah dengan anak tetapi kami terpaksa kerana ingin fokus pada proses pindah rumah," katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Mohamed Asraq berkahwin dengan gadis pilihannya, Wan Nur Fakhrul Iffah pada 10 Januari 2021.
Pasangan itu bertemu ketika bersekolah di Sekolah Vokasional Shah Alam, Selangor sebelum mengambil keputusan berkahwin selepas tujuh tahun berkawan.