|
Serbuk cili yang ditabur di hadapan rumah untuk halau kucing jiran.
PETALING JAYA – Seorang wanita terpaksa menabur serbuk cili di hadapan rumah untuk mengelakkan kucing-kucing jiran daripada ‘membuang’ di halaman rumahnya.
Menurut hantaran seorang wanita di laman Facebook, dia telah menabur hampir dua peket serbuk cili kerana tidak sanggup lagi menghadap bau busuk tahi kucing dari rumah jiran.
“Ini bukan kena simbah cat dengan along, tetapi serbuk cili. Kalau hendak bela kucing, bela sahajalah. Tetapi tolong jaga bau yang keluar dari najis kucing tu. Sampaikan kalau hendak masak pun terpaksa tutup hidung.
“Saya malas hendak bergaduh dengan jiran. Sejak dah berkahwin, perangai lama saya dah buang jauh-jauh. Stres duduk berjiran dengan orang yang suka kucing ni,” katanya.
Tegas wanita tersebut, dia tidak berniat untuk bersikap kejam terhadap haiwan pelihaan.
“Tetapi, bau dan najis haiwan itu yang tak tahan. Semua kucingnya kena kurung dalam sangkar, tetapi (pemilik) tidak letakkan pasir kucing di dalamnya. Sebab itu bau kuat,” kata wanita tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai yang pernah mengalami perkara sama rata-ratanya menggalakkan wanita tersebut untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan.
“Saya pernah rasai semua ini. Kali pertama saya tegur baik-baik. Kali kedua pun sama. Tetapi kali ketiga saya terus buat laporan kepada pihak kawasan perumahan,” kata Wati.
“Saya tak kisah kucing jiran. Tetapi, bila saya buka pintu, dua tiga ekor beratur minta makan. Kasihan pula,” kata Hanna.
“Samalah nasib kita. Orang lain yang bela, orang lain pula yang kena cuci tahi hampir setiap hari,” kata Mieza. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... mbuang-depan-rumah/ |
|