|
FOTO HIASAN.
Kuala Lumpur: Kegiatan memuat turun dan berkongsi kandungan lucah kanak-kanak atau bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dalam talian masih di tahap membimbangkan walaupun menunjukkan trend penurunan sejak dua tahun lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini, pihaknya mengesan 808 aktiviti muat turun dan perkongsian kandungan sedemikian.
"Angka ini merupakan jumlah aktiviti muat turun yang dikenal pasti dan tidak merujuk kepada bilangan individu yang melakukan perbuatan berkenaan, kerana terdapat kemungkinan seorang individu melakukan lebih daripada sekali muat turun," katanya baru-baru ini.
Siti Kamsiah berkata, jumlah aktiviti itu, dikesan berkurangan setiap tahun dengan pada 2022 dan 2023, masing-masing sebanyak 41,096 dan 33,692 aktiviti, direkodkan.
Beliau berkata, ke arah mengekang kegiatan itu dari berleluasa, pihaknya kini dalam proses membangunkan bank data, antara lain bagi menyimpan maklumat mengenai kejadian yang berlaku dalam negara.
"Kami juga giat melaksanakan kempen kesedaran melalui ceramah dan pameran bagi meningkatkan kesedaran orang ramai," katanya.
Siti Kamsiah berkata, bagi tempoh 2021 hingga tahun lalu, sejumlah 139 kertas siasatan dibuka bagi kes membabitkan bahan lucah kanak-kanak, mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Menurutnya, kes penderaan seksual, penderaan kanak-kanak dan keganasan rumah tangga pula menunjukkan peningkatan setiap tahun, terutama jenayah rogol, amang seksual fizikal dan seks luar tabie.
"Bagi tempoh 2021 sehingga 2023, sebanyak 38,424 kes jenayah terhadap kanak-kanak dan wanita direkodkan di seluruh negara, dengan kes keganasan rumah tangga mencatatkan kes tertinggi dengan 19,487 kes," katanya.
Katanya, ini diikuti kes rogol sebanyak 4,277 kes, amang seksual fizikal (3,455), mencabul kehormatan (2,698), kanak-kanak hilang (2,257) dan penderaan kanak-kanak (1,878).
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ak-masih-berleluasa |
|