|
KISAH Saidatul Nabila dan Abang Haqimi yang berkahwin pada Februari lalu mendapat perhatian di TikTok selepas wanita itu berkongsi di akaun sosial dan mengakui bersyukur usaha ‘gila’ ibu menamatkan zaman bujangnya. FOTO Ihsan Saidatul Nabila Huda Che Usman
Cyberjaya: Inisiatif seorang ibu mencarikan jodoh untuk anak sulung perempuannya di aplikasi X membuahkan hasil apabila wanita itu kini sudah mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan hati.
Saidatul Nabila Huda Che Usman, 26, bertemu suaminya Abang Haqimi Ariff Abang Hamdani, 29, selepas berkenalan di media sosial susulan 'iklan' dibuat ibunya, Malinda Anuar, 46, pada Mac tahun lalu.
Kisah Saidatul Nabila Huda dan Abang Haqimi Ariff yang berkahwin pada Februari lalu mendapat perhatian di TikTok selepas wanita itu mengakui bersyukur apabila menamatkan zaman bujang dengan usaha 'gila' ibunya.
Saidatul Nabila Huda yang mesra disapa Nabila Huda berkata, ibunya mendapatkan kebenarannya terlebih dahulu sebelum 'mengiklankan' pencarian jodoh untuknya.
Menurutnya, pada mulanya dia mengakui agak malu, namun reda.
Katanya, biarpun zaman sudah berubah, namun ibunya masih kekal berpegang seperti adat orang zaman dahulu yang suka anak perempuan berkahwin awal namun tidak pernah melarang dirinya bekerjaya selepas berumah tangga.
"Kalau diikutkan memang usia saya masih muda tetapi bagi ibu, saya sudah layak berkahwin. Tambahan pula ibu juga berkahwin di usia muda iaitu 19 tahun, malah dalam lingkungan kami boleh dikatakan ramai sepupu dan rakan sebaya sudah berkahwin serta mempunyai keluarga sendiri.
"Saya pula memang tiada rakan lelaki yang istimewa ketika itu dan setuju saja apabila ibu mahu mencarikan jodoh dengan memberikan kriteria lelaki pilihan kerana saya juga tiada akaun aplikasi X," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
‘IKLAN’ dibuat ibunya, Malinda pada Mac tahun lalu di aplikasi X. FOTO Ihsan Saidatul Nabila Huda Che Usman
Menurutnya, selepas perkongsian itu, dia menerima beberapa mesej perkenalan daripada lelaki di Instagram dan mengakui membalas sebahagian mesej seperti rakan biasa sebelum dua minggu kemudian menerima kiriman mesej suami.
"Kami hanya berkawan biasa sebelum menjadi rapat dan mula ada rasa selesa serta suka. Kami berkawan hampir lapan bulan sebelum berkahwin.
"Dan saya suka suami kerana dia ada usaha serta perancangan untuk berkahwin," kata kerani bahagian pentadbiran di sektor swasta itu.
SAIDATUL Nabila bersama ibunya, Malinda. FOTO Ihsan Saidatul Nabila Huda Che Usman
Mengenai perkongsian videonya di TikTok, baru-baru ini yang meraih 1.1 juta tontonan, Nabila Huda berkata, dia hanya mahu berkongsi pengalaman bertemu suami untuk dijadikan kenangan mereka yang disatukan melalui 'blind date'.
"Saya sebenarnya tak sangka boleh bertemu jodoh melalui usaha seperti itu dan betullah yang jodoh kita adalah rahsia Allah SWT, kadang-kadang jodoh bukan berada di lingkungan kita sebaliknya yang kita tak sangka, boleh menjadi jodoh kita.
"Saya simpan tangkap layar ciapan ibu di aplikasi X dan mesej suami di Instagram sebagai kenangan," katanya menetap di Persiaran Harmoni, di sini.
Terdahulu, perkongsian Nabila Huda mendapat lebih 1,400 komen netizen yang terhibur dengan cara ibunya mencarikan jodoh bagi pihak wanita itu.
Selain itu, ada juga netizen yang berkongsi kisah mereka mencari jodoh atau dibantu mendapatkan jodoh dengan cara sama di aplikasi media sosial.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... n-ibu-temukan-suami |
|