Edited by maklukpenggoda at 25-4-2024 12:23 AM
ALOR SETAR – Perasaan simpati dan baik hati penduduk dipercayai menjadi antara sebab segelintir daripada mereka sanggup menggunakan nama serta dokumen masing-masing bagi pembelian motosikal oleh warga asing.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali berkata, tindakan itu bagaimanapun salah kerana ia hanya akan menyebabkan lebih ramai warga asing terutama etnik Rohingya menunggang motosikal tanpa lesen sah.
“Dalam operasi pada sebelah pagi semalam sahaja, kita berjaya menahan 23 warga asing kebanyakannya etnik Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) kerana menunggang motosikal tanpa lesen sah.
“Kita serius dan komited tangani situasi ini kerana ia melibatkan pelanggaran undang-undang jalan raya selain memberi banyak implikasi buruk sekiranya berlaku kemalangan seperti tuntutan insurans,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Selain itu, katanya, pemilik sebenar motosikal yang digunakan warga asing itu juga akan dikenakan tindakan sekiranya penunggang melakukan kesalahan jalan raya termasuk terlibat kemalangan.
Kata beliau, sebanyak 3,756 notis saman dikeluarkan ke atas warga asing dengan 939 kenderaan disita pada tahun lalu berbanding 1,140 notis saman dan 285 kenderaan disita pada 2022.
|