Edited by stingerkentot at 30-5-2024 04:11 PM
KUALA LUMPUR – Pas secara khusus dan semua kumpulan Islam yang benar-benar menegakkan Islam menjadi sasaran fitnah serta tekanan di seluruh pelosok dunia termasuk dalam kalangan umat Islam.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya menjadi sasaran pertama kerana kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu apabila menjadi parti paling banyak memenangi kerusi di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperintah.
“Sehingga ditakut-takutkan masyarakat dengan jenama bahaya gelombang hijau. Walau bagaimanapun, Pas tetap memilih pendekatan perlawanan secara damai berprinsipkan demokrasi walaupun berlawan di atas padang yang tidak sama rata dan sistem yang tempang terhadap Islam,” katanya. Abdul Hadi berkata demikian dalam tulisan Minda Presiden Pas bertajuk Islam Sasaran Fitnah, Di Sini Pas Sasaran Pertama.
Menurut Abdul Hadi, gerakan Islam di seluruh dunia diintip segala kesilapan umat Islam atau direka cipta fitnah terhadapnya. “Apa sahaja perkara yang kecil akan dibesar-besarkan untuk sebaran atau dicipta yang tiada tindakan semata-mata untuk membawa wajah buruk terhadap Islam,” katanya. – MalaysiaGazette
|