|
Manchester United dilapor dibenarkan beraksi dalam Liga Europa bersama Nice, yang turut dimiliki syarikat INEOS milik Jim Ratcliffe. – Foto REUTERS
LONDON: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dilapor membenarkan Manchester United beraksi dalam Liga Europa musim depan di sebalik larangan badan induk itu mengenai pemilikan dua kelab.
United dan Nice, yang turut dimiliki syarikat Jim Ratcliffe, INEOS, kedua-duanya layak ke pertandingan itu musim depan.
Seperti laporan Mail Sport pada Mac lalu, versi terkini undang-undang integriti UEFA menyatakan jika sekiranya dua kelab dimiliki bersama layak ke pertandingan sama, hanya satu kelab dibenarkan bertanding.
Ini kebiasaannya diberikan kepada pasukan yang berakhir lebih tinggi dalam liga masing-masing, dengan Nice berada di tangga kelima manakala Manchester United kelapan.
Bagaimanapun, United memenangi Piala FA Inggeris, trofi yang mana pemenangnya layak secara automatik ke Liga Europa musim depan - kecuali mereka layak ke Liga Juara-Juara.
The Times melaporkan Manchester United diberikan pelepasan oleh UEFA untuk bersaing dalam pertandingan sama dengan Nice musim depan tetapi tertakluk kepada beberapa syarat tertentu.
Akhbar itu mendakwa Nice diberitahu mereka patut beroperasi menerusi 'blind trust' - oleh satu panel yang diiktiraf oleh UEFA.
Model itu digunakan musim ini dalam perjanjian membabitkan AC Milan, Toulouse dan pelabur mereka dari Amerika Syarikat, Red Bird Capital.
Ia menyatakan kelab diberitahu musim 2024-25 dianggap sebagai musim transisi dan mereka tidak akan menerima layanan sama pada masa depan.
Peraturan itu juga bermakna kedua-dua Manchester City dan Girona dibenarkan untuk bertanding dalam Liga Juara-Juara.
Girona - dimiliki oleh City Football Group - mungkin terjejas jika UEFA mengambil pendekatan awal kerana mereka berakhir di tangga ketiga dalam La Liga dan mungkin disingkirkan ke Liga Europa - memandangkan City menjuarai Liga Perdana Inggeris. – AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... r-beraksi-di-eropah |
|