CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 46312|Reply: 0

[Pulau Pinang] Program negeri perlu ambil kira sensitiviti pelbagai bangsa - Ahmad Fuzi

[Copy link]
Post time 27-7-2024 02:10 PM | Show all posts |Read mode
Program negeri perlu ambil kira sensitiviti pelbagai bangsa - Ahmad Fuzi


Julai 27, 2024 @ 1:49pm




Ahmad Fuzi (duduk, kiri), bersama Khadijah pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-75 hari ini. Foto Bernama




GEORGETOWN: Setiap program peringkat negeri perlu dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti kepelbagaian bangsa yang wujud demi keamanan dan kesejahteraan bersama, kata Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau berkata, kepelbagaian bangsa, agama, kaum dan budaya, disulami dengan perbezaan bahasa serta taburan demografi serta generasi pada hari ini perlu diraikan tanpa mewujudkan sebarang jurang perbezaan.

"Memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bahawa 'setiap kita harus hormat hak dan perasaan masing-masing, bertolak ansur dengan agama orang lain, adat dan tabiat, kerana menerusi kepelbagaian itu kita boleh mendapat perpaduan yang sebenar'.

"Ia penting bagi semua rakyat negeri ini supaya tidak terpesong dan terpisah daripada hidup bersatu," katanya berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Toh Puan Khadijah Mohd Nor.

Beliau berkata, perjuangan ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran di negeri ini bukan hanya terletak pada bahu individu atau pihak tertentu saja, malah ia juga amanah serta tanggungjawab yang perlu digalas bersama oleh semua pihak.

Sementara itu, Ahmad Fuzi berkata, kerajaan negeri perlu melaksanakan projek bersifat 'game changer' atau pengubah keadaan melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

"Hal ini termasuk projek berimpak tinggi yang dapat mengubah landskap ekonomi negeri termasuk membangunkan daerah di Seberang Perai khususnya yang agak terbelakang dari segi pembangunan supaya limpahan nikmat ekonomi dapat disamaratakan.

"Seterusnya, bagi menyemarakkan lagi sektor pembangunan dan menambah baik kualiti hidup penduduk terbabit, saya juga menggesa kerajaan negeri dan agensi berkenaan membangunkan kawasan berpotensi termasuk tanah wakaf di Kampung Dodol dan Kampung Makam yang strategik lokasinya di tengah-tengah bandar raya," katanya.

Ahmad Fuzi turut memuji usaha kerajaan negeri yang komited dan fokus dalam memastikan ekosistem ekonomi Pulau Pinang terus kekal berdiri teguh walaupun berdepan senario ekonomi global yang mencabar serta konflik geopolitik pada masa ini.

Beliau berkata, Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi iaitu RM116 bilion pada 2023 berbanding RM112.3 bilion pada tahun sebelumnya, serta menyumbang 7.4 peratus kepada ekonomi Malaysia.

Terdahulu, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2024 sempena Sambutan Ulang Tahun ke-75 Ahmad Fuzi dimulakan dengan 17 das tembakan meriam diikuti tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan serta kawalan kehormatan.

Pada tahun ini, 142 individu menerima penganugerahan darjah kebesaran, manakala 1,204 orang menerima bintang dan pingat kehormatan dengan bekas Pengerusi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mendahului senarai 235 penerima hari ini, yang menjadi penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) membawa gelaran Datuk Seri Utama.
– BERNAMA







Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 02:37 PM GMT+8 , Processed in 0.278971 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list