CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3037|Reply: 0

[Tempatan] Kita semakin ditendang AI

[Copy link]
Post time 6-8-2024 10:46 AM | Show all posts |Read mode
Kita semakin ditendang AI

https://www.freemalaysiatoday.co ... makin-ditendang-ai/

Ronasina
06 Aug 2024, 09:00 AM



Saya bengang apabila melihat yang menghantar makanan itu seekor robot, yang saya tidak boleh tegur dia, ‘cantik awak hari ini’.  

Saya masih muda, baru 51 tahun tapi saya akui sedikit kolot. Ada ramai orang lebih tua daripada saya cukup handal teroka dunia komputer dan maklumat tetapi saya ada rasa takut untuk buat sebuah perubahan lebih-lebih lagi jika melibatkan teknologi.


Apabila membeli telefon pintar misalnya, saya cuma mahu spesifikasi biasa-biasa sahaja asalkan apa yang saya mahu ada di dalamnya. Hendak godek-godek kaji apa keupayaan lain telefon pintar itu saya takkan buat. Saya khuatir ia akan rosak dan menghilangkan segala data. Apa yang saya tahu setakat itu sahaja sudah cukup, tak mahu saya tahu lebih-lebih. Adakalanya suatu benda yang mudah itu, bertahun-tahun barulah saya tahu ia boleh dilakukan dengan hanya menekan dan memilih tetapan sekian-sekian pada telefon pintar saya. Bila saya dapat tahu saya akan ketawa mengenangkan betapa ketinggalannya saya.

Entah kenapa saya kurang gemar masuk ke restoran yang perlu kita imbas kod bar untuk memesan makanan. Saya bengang apabila melihat yang menghantar makanan itu seekor robot, yang saya tidak boleh tegur dia, cantik awak hari ini ataupun komplen air ini manis sangatlah!. Saya mahu melihat manusia yang melayani saya. Saya mahu tengok wajah manusia, senyuman berserta suara dan gerak tubuh. Bukan robot yang hanya menghantar dan kemudiannya pergi dengan ucapan yang telah diskripkan.

Hari ini, di lebuh raya kalau ada lima pondok tol, hanya satu sahaja di dalamnya manusia. Selebihnya hanya tag dan scan. Sesetengah restoran segera dan hotel, kita berurusan dengan mengisi borang maya di skrin sesentuh yang disediakan di lobi. Manusia semakin lama semakin tidak kelihatan. Mesin dan robot telah mengambil alih profesion manusia.

Mutakhir ini, AI (artificial intelligence atau kecerdasan buatan) semakin canggih sehingga menerajang ramai manusia yang berkerjaya. Ini sangat menakutkan saya!

Artis-artis yang membuat kerja reka bentuk dan grafik, yang belajar tentang konsep, tema teknik, hala tuju, komposisi dan semua itu habis diterajang dengan kehadiran aplikasi dan AI sehinggakan budak sekolah rendah pun boleh merekabentuk kulit buku atau logo syarikat. Kalau dahulu kawan-kawan yang berkecimpung dalam bidang ini ada job untuk buat buku laporan tahunan syarikat-syarikat besar, hari ini mereka sudah tidak dapat tawaran kerja lagi.

Bagi generasi tua yang tak reti dengan kecanggihan ini mereka dibantu anak-anak mereka. Anak-anak saudara sayalah yang scan dan order apabila kami masuk restoran. Wow! Canggih. Itulah perkataan pertama atuk dan nenek kita hari ini. Kita dan tok nenek kemudiannya mulai pandai membeli barang secara dalam talian. Untuk beli pakaian, makanan dan sebagainya tekan sahaja butang, kemudian sampailah ia ke tangan kita. Mudah dan jimat! Tak perlu bersesak ke pusat beli-belah dan kedai. Apatah lagi untuk membeli baju raya di karnival dan bazar raya. Kawan saya mengeluh bisnes baju rayanya di karnival tidak lagi serancak dahulu malah memang teruk sungguh jualannya.

Tapi aku tengok orang ramai? tanya saya.

Ya. Orang ramai hanya berjalan-jalan menengok-nengok sahaja. Bak kata orang, cuci mata. Saja pusing-pusing tapi tak membeli. Mereka beli online. Nak tak nak kita pun kena buat live untuk jual barang.

Nampaknya dunia kita hari ini dah sampai macam ini! Bila kita masuk Chat GPT, taipkan nama kita maka jam itu juga AI berjaya mengutip segala maklumat kita di alam maya. Soal benar atau salah, sahih atau sebaliknya maklumat tersebut, itu jatuh nombor dua. Tak hebatkah ini? Gila! Nak apa lagi? Hendak tulis berita? AI ada. Hendak buat lukisan, berikan sahaja arahan bagaimana lukisan yang kita mahu, dalam beberapa detik sebuah lukisan janaan pun terbina.

Persoalannya siapakah pemilik sebenar lukisan tersebut? Manusia yang beri arahan (kerana dia tiada bakat melukis) atau AI yang memegang karya tersebut? Bolehkah penulis arahan mendakwa dia seorang artis yang menghasilkan sebuah lukisan agung?

Itulah yang terjadi bulan lepas. Majalah kartun tertua di Malaysia, Gila-Gila mendapat kecaman hebat apabila muka hadapan edisi Julai itu memaparkan karya janaan AI. Ramai kartunis dan peminat mengkritik. Isu tersebut juga turut mendapat liputan media. Bagi mereka apa akan jadi kepada pelukis yang cari makan dengan melukis apabila orang yang tak pandai melukis pun boleh menghasilkan lukisan dengan memberi arahan kepada mesin?

Bagi saya, sekadar satu keluaran untuk menunjukkan bahawa dunia mencapai teknologi AI tidak mengapa. Sekadar suka-suka dan kemudian kembalikanlah kepada identiti asalnya pada keluaran-keluaran seterusnya. Para penggiat lukisan AI juga harus sentiasa sedar yang mereka bukanlah pelukis tetapi pengguna teknologi yang menghasilkan lukisan berdasarkan arahan mereka sahaja. Kalau mendakwa diri sebagai pelukis, parahlah!

Watak-watak janaan AI muncul di TV dan media sosial sebagai pengacara, pengulas, dan moderator. Manusia sudah tidak diperlukan lagi. Paling mengejutkan saya apabila lalu di Facebook saya bagaimana AI menggabungkan Sudirman, P Ramlee, dan Jamal Abdillah bersama-sama menyanyikan sebuah lagu. Ada yang seronok tapi bagi saya kesan jangka panjang ini amat menakutkan. Bagi sesetengah orang AI mampu melaksanakan fantasi kita. Apa yang kita mahu boleh dibuat. Hendak buat Siti Nurhaliza dan Michael Jackson berduet pun boleh tapi… ah!

Wajarkah saya mengambilnya terlalu serius? Wajarkah saya takut? Berasaskah kegusaran itu?

AI suatu teknologi yang seharusnya memudahkan kita tetapi bukan mengambil alih kerja kita sehingga kita tidak jumpa lagi manusia di posisi yang sepatutnya manusia duduk di situ. Saya tahu teknologi ini bukan tak ada kebaikannya. Yang bagus ialah aktiviti jual beli tanpa aliran wang tunai — kita membayar dengan menggunakan imbas kod QR, ini mengurangkan masalah kecurian dompet. Ini memang canggih dan baik tetapi kecanggihan haruslah menyenangkan bukan membuat kita terbuang. Lukisan, foto, muzik, bunyi, grafik dan hasil seni seperti itu, yang dihasilkan oleh robot memanglah kelihatan cantik tetapi ia ternyata kosong dan hampa. Hasilnya ‘kering’ tak berjiwa. Bayangkan sajak pun boleh dihasilkan oleh AI? Begitu juga lagu. Berikan ia lirik tulisan kita, arahkan ia buat irama rock. Dum! Terhasillah sebuah lagu. Kita sudah layak digelar komposer. Huh!

Akhirnya nanti mesin-mesin ini pun mengambil semua kerja kita. Kita masuk ke pasar raya yang tiada manusia, segala barangan yang kita beli automatik ditolak dari kad debit apabila kod diimbas sewaktu kita melalui lorong imbas khas. Kita naik bas atau kereta sewa yang dipandu oleh robot. Kita beli barang online, robot akan hantar. Kita dengar lagu robot, tonton filem yang dilakonkan oleh AI.

Semuanya robot, robot dan robot. Persoalannya, pada waktu itu kita buat apa? Apa pekerjaan kita untuk menanggung keluarga?

Jangan kata ini semua tak mungkin terjadi kerana kelihatan waktunya makin lama semakin hampir. Kalau kita tak sempat mungkin anak cucu yang akan kena!

Filem-filem fiksyen sains seperti Terminator, I-Robot, The Creator dan banyak lagi membayangkan keadaan ini apabila kedudukan manusia tergugat dek barang ciptaan sendiri. Selamatkah lagi manusia apabila hasil kreativiti ciptaan mereka melawan tauke menakluki dunia?

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-11-2024 12:34 AM GMT+8 , Processed in 0.068859 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list