CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 53561|Reply: 0

[Johor] Onn Hafiz perlu segera harmonikan politik di Johor

[Copy link]
Post time 16-8-2024 12:01 AM | Show all posts |Read mode


Johor Bahru: Prinsip parti penyandang atau 'Principle of Incumbency' tidak terpakai kepada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, kerana Pakatan Harapan (PH) di negeri itu dianggap sebagai pembangkang.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata ia terbukti apabila tidak ada seorang pun Exco Kerajaan Johor daripada PH dengan semua 11 Exco adalah daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, isu utama yang membawa ketidakpuasan hati akar umbi Amanah terutama di Kluang berdasarkan realiti tidak wujud Kerajaan Perpaduan di Johor seperti di Putrajaya dan negeri yang Menteri Besarnya daripada BN.

"Semua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH dikenali sebagai 'pengimbang' bagi memurnikan istilah pembangkang dalam Dewan Negeri Johor, malah semua Exco serta ketua kampung atau ketua masyarakat adalah lantikan daripada BN, mengakibatkan implikasi sangat besar dalam membentuk landskap politik Johor, ketika ini.

"Apabila tidak wujud Kerajaan Perpaduan di Johor, maka prinsip parti penyandang atau 'Principle of Incumbency' tidak terpakai kepada 56 kerusi DUN di Johor.

"Bermakna 56 kerusi DUN di Johor tidak menjadi hak atau milik kepada mana-mana parti sama ada PH atau BN. Oleh itu, PH atau BN bebas untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN di Johor, tambahan pula PH adalah berstatus 'pembangkang' di negeri ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 5 Ogos lalu, Amanah Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK DUN Mahkota yang akan diumumkan, tidak lama lagi.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain, dipetik berkata ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi Dun Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Namun, beliau dilaporkan berkata, jika Umno Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri bersedia untuk memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai Ahli Majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah bersedia memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di kerusi DUN Mahkota.

Susulan itu, Pemuda Umno Johor dilapor menyifatkan tindakan Amanah menuntut kerusi DUN Mahkota, sebagai gelojoh dan tamak.

Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, dipetik berkata Amanah juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris kepada Allahyarhamah Sharifah Azizah yang baru meninggal dunia.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK DUN Mahkota akan diwakili BN.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata pihaknya akan bersiap siaga untuk menghadapi PRK itu yang dijadualkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September depan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata jika alasan Kerajaan BN di Johor ditubuhkan lebih awal daripada Kerajaan Perpaduan di Putrajaya, persoalannya bagaimana pula kerajaan BN Melaka yang juga dibentuk lebih awal, berlapang dada untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Melaka selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Beliau berkata, penyelesaian yang tuntas kepada kemelut politik di Johor adalah supaya pemimpin PH dan BN Johor segera berbincang di meja perundingan atau bermusyawarah bersama.

Katanya, pemimpin PH dan BN Johor perlu mengenepikan 'ego politik' masing-masing atas nama kepentingan 4.1 juta rakyat Johor.

"Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor dan Pengerusi BN Johor disaran segera memulakan langkah positif ke arah menatijahkan keharmonian politik di negeri.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 06:57 PM GMT+8 , Processed in 0.089297 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list