CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1563|Reply: 0

[Tempatan] Lebih 70,000 bahan prasejarah ditemui di tapak pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri

[Copy link]
Post time 23-8-2024 09:59 AM | Show all posts |Read mode
Lebih 70,000 bahan prasejarah ditemui di tapak pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri
Oleh BERNAMA - Ogos 23, 2024 @ 7:15am


Rangka manusia yang lengkap ditemui di Gua Keledung Kecil dianggarkan berusia 14,000 hingga 16,000 tahun adalah artifak prasejarah di Lembah Nenggiri. Kesemua penemuan itu adalah hasil kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi menyelamat terhadap 13 gua batu kapur yang terlibat dengan pembinaan projek empangan hidroelektrik Nenggiri. - Foto BERNAMA



GUA MUSANG: Sejumlah 71,289 sumber khazanah warisan dan bahan prasejarah ditemui di kawasan Lembah Nenggiri, di sini, yang menjadi tapak pembinaan empangan hidroelektrik.

Pengarah Bahagian Arkeologi Jabatan Warisan Negara, Zaharudin Abu, berkata jumlah berkenaan termasuk membawa keluar 16 rangka manusia, peralatan batu, tembikar dan lain-lain.

Beliau berkata, 16 rangka manusia itu kini ditempatkan di Jabatan Warisan untuk kerja pemuliharaan dan konservasi serta penyelidikan lanjut manakala selebihnya disimpan di tempat khas di Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Semua penemuan berkenaan adalah hasil penyelidikan dan ekskavasi di 13 gua batu kapur yang terbabit dengan pembinaan projek Empangan Hidroelektrik Nenggiri.

"Kerja penyelidikan dan ekskavasi ini dimulakan pada Mac 2022 dan berakhir Oktober tahun lalu, dalam tempoh itu penemuan terbesar kami adalah menjumpai satu rangka manusia yang lengkap di Gua Keledung Kecil berusia anggaran 14,000 hingga 16,000 tahun," katanya di Pos Tohoi di sini.


Sebahagian penemuan artifak prasejarah yang ditemui oleh Jabatan Warisan Negara di Lembah Nenggiri. - Foto BERNAMA

Zaharudin turut menyarankan TNB untuk mewujudkan mini galeri di Gua Musang untuk mempamerkan khazanah negara termasuk artifak yang ditemukan di Nenggiri.

"Kita melihat ini sebagai satu peluang kepada masyarakat dan sektor pelancongan arkeologi di Kelantan dan limpahan ekonomi bakal dinikmati rakyat negeri ini.

"Selain itu, Jabatan Warisan juga akan meminta pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mencalonkan objek rangka manusia di Gua Keledung Kecil itu diwartakan di bawah Akta 645," katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan adalah satu daripada usaha untuk menjaga dan memelihara objek berkenaan setelah diwartakan.

"Saya juga meminta semua penduduk di kawasan Nenggiri, jika ada menjumpai artifak dan objek yang mempunyai nilai warisan agar terus melaporkannya kepada pejabat daerah atau kerajaan negeri.

"Pihak Jabatan Warisan akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mewartakan tapak-tapak yang ada di Kelantan kerana negeri itu kaya dengan tapak warisan, arkeologi mahupun bangunan," katanya.

Zaharudin berkata, mengikut Akta 645 untuk mewartakan sesuatu tapak itu perlu mendapat keizinan kerajaan negeri.


Sebahagian penemuan artifak prasejarah yang ditemui oleh Jabatan Warisan Negara di Lembah Nenggiri. Kesemua penemuan itu adalah hasil kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi menyelamat terhadap 13 gua batu kapur yang terbabit dengan pembinaan projek empangan hidroelektrik Nenggiri. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Felow Kanan Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM, Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli berkata, pihaknya sudah melakukan kerja membawa keluar semua bahan prasejarah dan objek yang ditemukan di 13 gua batu kapur berkenaan.

"Kita beranggapan tiada lagi bahan prasejarah atau jumpaan objek ditemukan di gua berkenaan kerana semua telah dibawa keluar," katanya.

Projek Hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion itu dijangka siap pada pertengahan tahun 2027 dan akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84 kilometer (km) persegi serta Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97 km persegi.

Projek itu akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli dan penduduk tempatan serta mampu menjana 300 megawatt (MW) apabila beroperasi kelak. – BERNAMA

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-11-2024 06:32 PM GMT+8 , Processed in 0.333475 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list