CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 36274|Reply: 0

[Sarawak] TYT, isteri ucap tahniah kepada kontinjen Sarawak atas kejayaan juarai SUKMA XXI

[Copy link]
Post time 26-8-2024 04:36 PM | Show all posts |Read mode


Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah bergambar bersama maskot SUKMA XXI Sarawak 2024 sebagai tanda bangga setelah Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan semalam.

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan tahniah kepada kontinjen Sarawak atas kejayaan menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Katanya menerusi satu kenyataan hari ini, selepas 30 tahun, Sarawak kembali menjuarai SUKMA.

"Kejayaan anak-anak Sarawak merangkul pingat emas telah meletakkan Sarawak sebagai juara keseluruhan. Terima kasih kerana mengharumkan nama Sarawak!
"Usaha, semangat dan iltizam semua atlet yang datang daripada pelbagai latar belakang, telah meletakkan anda sebagai wirawan dan wirawati sukan Sarawak.

"Kerana anda, temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 telah berlangsung dengan jayanya.

"Saya dan isteri ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen Sarawak yang memenangi SUKMA 2024 yang menutup tirainya semalam," katanya.

Beliau meluahkan rasa bangga melihat kontinjen Sarawak yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan meraih 76 pingat emas.

Ucapan tahniah juga diucapkan buat Kerajaan Sarawak, khususnya Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap penaung Sekretariat SUKMA XXI Sarawak 2024, tambahnya.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada Menteri Belia, Sukan dan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga pengerusi sekretariat dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sekretariat atas segala usaha menjayakan temasya SUKMA XXI Sarawak 2024.

Penghargaan turut dizahirkan kepada Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu yang juga Chef de Mission dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Morshidi Fredrick yang juga Timbalan Chef de Mission.

"Terima kasih kerana memastikan atlet kita yang bertanding dalam keadaan yang baik dan terurus.  

"Juga kepada pegawai kontinjen dari negeri-negeri lain, terima kasih diucapkan atas kerjasama dan sokongan yang diberi dalam menjayakan temasya sukan SUKMA di Sarawak," ujarnya.

“Tidak dilupakan juga atlet-atlet dari negeri-negeri lain, saya ucapkan tahniah atas usaha, kerjasama, semangat kesukanan dan penglibatan anda dalam menjayakan SUKMA XXI Sarawak 2024.

“Ingatlah, anda semua adalah yang terbaik kerana anda sudah membuktikan kemampuan dalam acara sukan yang anda sertai.

“Dan akhir sekali, khas buat atlet Sarawak setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan atas pencapaian anda yang membanggakan dalam temasya Sukan SUKMA XXI kali ini,” tambahnya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 04:06 PM GMT+8 , Processed in 0.717638 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list