DBKL tutup lokasi mendapan baharu di Masjid India
Oleh Azhar Shahrulnizam - Ogos 28, 2024 @ 12:42pm [email protected]
Kawasan mendapan baharu yang dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi tadi susulan hujan lebat dan ribut malam tadi.
KUALA LUMPUR: Kawasan mendapan baharu yang terbentuk kira-kira 50 meter dari lokasi tanah jerlus yang berlaku Khamis lalu di Jalan Masjid India di sini ditutup sebagai langkah keselamatan.
Berdasarkan tinjauan, kawasan mendapan baharu yang dipercayai berlaku sekitar 2.30 pagi tadi susulan hujan lebat dan ribut malam tadi, ditutup sepenuhnya menggunakan tali keselamatan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui kenyataan berkata tindakan segera juga diambil dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) bagi memeriksa paip kumbahan di lokasi itu serta kawasan sekitarnya untuk memastikan tiada kerosakan lanjut.
Kakitangan DBKL melakukan penutupan jalan berikutan satu lagi kejadian tanah mendap berlaku kira-kira 50 meter daripada lokasi tanah jerlus yang melibatkan warga India di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, DBKL akan terus bekerjasama dengan IWK serta agensi berkaitan untuk memastikan tindakan susulan berterusan dan menyeluruh dilaksanakan untuk mencegah kejadian sama berulang.
"Keselamatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur adalah keutamaan kami.
"DBKL akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam," katanya.
Terdahulu BH melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini bersambung semula pagi ini selepas ditangguhkan jam 7.30 petang semalam, susulan hujan lebat.
Tinjauan Berita Harian di lokasi jam 8 pagi mendapati pasukan SAR terdiri polis, bomba, DBKL dan Angkatan Pertahanan Awam sudah berada di lokasi kejadian.
Pasukan SAR akan meneruskan pencarian mangsa dengan memberikan tumpuan di kawasan kejadian.
Pada masa sama, DBKL berkata kerja Ground Penetrating Radar (GPR) dilakukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi tujuan penilaian integriti tanah di laluan saluran kumbahan akan diteruskan dan dijangka selesai hari ini," katanya.