|
PUTRAJAYA: Polis sedang mengesan beberapa penulis artikel dari negara jiran untuk membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya juga masih mengesan seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang didakwa terbabit dalam jenayah itu untuk diambil keterangan.
“Siasatan polis adalah berkaitan pembabitan bekas Timbalan Menteri dalam dakwaan pemerdagangan orang, itu sahaja.
“Siasatan juga masih diteruskan dengan mengesan Datuk Seri yang didakwa itu serta penulis-penulis artikel termasuk dari Indonesia, yang perlu dirakam percakapan,” katanya pada Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024, di sini, hari ini.
Baru-baru ini Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Mengulas lanjut, Tan Sri Razarudin berkata, hanya tiga percakapan yang direkodkan pihaknya setakat ini.
Katanya, setakat ini pihaknya juga masih mengesan sama ada terdapat individu yang melarikan diri selepas dakwaan itu timbul.
“Kita juga akan membuat semakan akaun (bank) dalam meneruskan siasatan berkenaan.
Ditanya mengenai siasatan terhadap laporan pemerdagangan manusia ‘Justice For Myanmar’ yang mengaitkan dengan pelbagai individu termasuk dari Malaysia, Tan Sri Razarudin berkata pihaknya menjalankan siasatan terperinci selepas membuka kertas siasataan pada Julai lalu.
Sumber – Buletin TV3 |
|