TANGKAP: Polis berjaya menangkap suspek dipercayai terlibat dengan kes bunuh di Kampung Ranggu Cina, Batu 8, Jalan Apas, Tawau.
TAWAU: Seorang lelaki maut ditetak seorang kenalan dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ranggu Cina, Batu 8, Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa berusia 33 tahun dipercayai ditetak di bahagian kepala dan badan menggunakan sebilah parang oleh suspek warga asing berusia 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang datang ke Balai Polis Inanam, Kota Kinabalu, pada 11.30 pagi tadi, menyatakan adik lelakinya dibunuh, di Kampung Ranggu Cina, di sini.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Sri Indah menuju ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan polis memaklumkan penemuan mayat lelaki dengan kesan tetakan ditemukan di dalam sebuah rumah di kampung berkenaan.
“Polis kemudian berjaya menahan suspek kira-kira jam 12 tengah hari semalam dan merampas sebilah parang yang disyaki digunakan untuk menetak mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek adalah warga asing yang bekerja sebagai buruh kasar di kebun di kawasan Kampung Ranggu Cina.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara mangsa dan keluarga suspek.
“Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) akan dijalankan esok di Mahkamah Majistret Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya.
|