Saham YTL, YTL Power jatuh susulan siasatan SPRM www.bharian.com.my
Oleh BERNAMA - September 5, 2024 @ 2:29pm
Projek 1Bestarinet.
KUALA LUMPUR: Saham YTL Corporation Bhd dan YTL Power International Bhd terjejas hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta maklumat daripada anak syarikat YTL Power, YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms) berhubung Projek 1Bestarinet.
YTL Power mengesahkan perkara itu semalam, sambil menambah YTL Comms memberikan kerjasama penuh kepada SPRM, dan menyatakan kepercayaan bahawa perkara itu akan diselesaikan dengan memuaskan.
Pada 12.30 tengah hari tadi, saham YTL jatuh 23 sen kepada RM2.77 manakala YTL Power susut 18 sen kepada RM3.71.
Dalam satu laporan, sumber dipetik sebagai berkata 'penyiasatan tertumpu kepada 'tuntutan membabitkan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion'.
Menurut YTL Power, Projek 1Bestarinet telah dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011 oleh Muhyiddin Yassin selaku menteri pendidikan di bawah tender terbuka membabitkan 19 syarikat yang membuat tawaran untuk projek itu.
YTL Comms dipilih sebagai bidaan yang paling mematuhi teknikal dan paling kos efektif.
Projek terbabit telah disahkan oleh KPM sebagai siap pada akhir tempoh kontrak pada 30 Jun 2019.