|
KEADAAN Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan yang masih terdapat kesan kotoran minyak dan sampah. FOTO Omar Ahmad
Johor Bahru: Penduduk di Kampung Melayu Pandan, di sini, yang terjejas dengan pencemaran bau, kelmarin, mengambil inisiatif untuk tidak memakan hidupan di Sungai Pandan buat sementara waktu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Melayu Pandan Mohd Fauzi Mohamad berkata, ramai belia di kawasan itu yang gemar memancing di sungai terbabit terutama pada sebelah petang.
Katanya, beliau sudah memaklumkan kepada penduduk agar mengelakkan memancing dan memakan ikan dari sungai itu.
"Semasa pencemaran bau berlaku, saya ada mendapat aduan dari penduduk menyatakan kebimbangan mereka, takut jika insiden di Sungai Kim Kim berulang dan terjadi di sini.
"Alhamdulillah, selepas mendapat penjelasan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor semalam yang menyatakan terdapat kandungan gas ammonia yang tinggi di kawasan ini, kami sedikit lega.
"Tetapi sebab ia melibatkan sungai dan kita masih tidak tahu apa bahan kimia yang dibuang dalam Sungai Pandan, saya menasihatkan kepada penduduk terutama anak-anak untuk elakkan aktiviti memancing ketika ini.
"Ada penduduk yang makan hasil memancing di Sungai Pandan sebelum ini. Di sungai ini, terdapat ikan keli, haruan, patin dan pelbagai lagi ikan.
"Kita risau sebab semasa pencemaran bau itu berlaku, terdapat beberapa ikan di sini juga timbul (mati)," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, tinjauan di Kampung Melayu Pandan mendapati Tabika Kemas Jalan Masjid kembali beroperasi selepas ditutup selama dua hari sebagai langkah berjaga-jaga akibat pencemaran bau.
Selasa lalu, tiga kawasan dilaporkan turut terjejas akibat pencemaran bau membabitkan Taman Mount Austin, Taman Daya dan Taman Istimewa, di sini.
Disiarkan pada: September 5, 2024
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|