Edited by maklukpenggoda at 18-9-2024 02:53 PM
ALOR SETAR: Banjir yang melanda enam daerah di Kedah bertambah buruk malam ini, dengan bilangan mangsa terus meningkat.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin, berkata pihaknya kini bersiap sedia membuka PPS di daerah dilanda banjir yang membabitkan jumlah mangsa ramai bagi memastikan mereka mendapati bekalan makanan mencukupi.
Berdasarkan rekod sehingga jam 11.05 malam ini, sejumlah 2,039 mangsa membabitkan 341 keluarga ditempatkan di 11 pusat pemindahan yang dibuka.
Jumlah itu meningkat sekali ganda hanya dalam tempoh tiga jam berbanding 1,018 mangsa yang dipindahkan sehingga jam 8 malam tadi, dengan hujan yang masih lebat antara penyumbang utama.
Operasi penyelamatan dilakukan menggunakan bot tamat sepenuhnya jam 10.18 malam.
"Untuk situasi semasa ini, ada pasukan bersedia di lokasi kejadian.
"Jika ada apa-apa, mereka akan bergerak terus ke lokasi untuk melakukan penyelamatan," katanya.
7 sungai melepasi tahap bahaya
Sementara itu, tujuh sungai di negeri ini menunjukkan bacaan melepasi tahap bahaya setakat jam 11 malam ini.
Antara sungai itu membabitkan tiga di Kubang Pasu, dua di daerah Kota Setar dan masing-masing satu di Baling dan Yan.
Berdasarkan laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata dan Sungai Laka di daerah Kubang Pasu menunjukkan trend menaik, diikuti Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR di daerah Kota Setar.
Selain itu, Sungai Sedim di Kampung Sedim di daerah Baling dan Sungai Gurun di Kampung Perupok di daerah Yan juga menunjukkan trend sama.
Tiga sungai iaitu Sungai Perik di daerah Padang Terap, Sungai Ketil di Kuala Pegang di daerah Baling dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang di daerah Pendang menunjukkan aras bacaan melepasi tahap amaran.
BH
|