|
Syed Hussien menyantuni penduduk dan peniaga. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kluang: Walaupun sokongan pengundi dianggap positif, calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah enggan berasa selesa, sebaliknya bertekad bekerja keras sehingga tamat tempoh berkempen.
Beliau sekali lagi menegaskan selain kempen kepada pengundi di kawasan, jentera juga akan terus mempergiatkan kempen terhadap kumpulan pengundi 'senyap' dan mereka yang menetap di luar Dun Mahkota menerusi media sosial.
Ini bertujuan untuk memastikan peratusan keluar mengundi pada 28 September ini, adalah memuaskan.
"Jangan pandang rendah lawan. Walaupun ramai yang mengenali saya dan keluarga, namun masih perlu beringat lawan juga ada kelebihan dan ini (PRK Dun Mahkota) tetap pertandingan yang tidak boleh dipandang ringan. Jangan berasa terlalu selesa.
"Fokus kita untuk terus mendekati pengundi kerana setiap undi amat penting untuk memastikan kejayaan parti," katanya selepas menghadiri Program Desa Cergas di Laman Komuniti Kampung Melayu, di sini, hari ini.
PRK Dun Mahkota pada 28 September ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini.
Disiarkan pada: September 18, 202
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|