Edited by Vellfire at 20-9-2024 07:32 AM
KUCHING: Seorang juruteknik lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini daripada pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya yang berusia empat tahun, pada 2021.
Hakim Iris Awen Jon membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap lelaki berusia 42 tahun itu pada akhir kes pendakwaan.
Justeru, mahkamah menetapkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didakwa melakukan serangan seksual secara fizikal terhadap kanak-kanak tersebut yang berusia empat tahun pada waktu kejadian, dengan cara menyentuh kemaluan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya antara Januari 2021 dan Mei 2021 di sebuah rumah di Petra Jaya di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.
Perbicaraan kes yang berakhir pada 25 Julai 2024 dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian itu menyaksikan pihak pendakwaan memanggil enam saksi untuk memberikan keterangan dalam kes ini.
Tertuduh diwakili peguam Abdul Rahman Mohd Hazmi.
|