ANTARA 35 penjaja makanan warga asing yang berniaga di sebuah festival makanan jalanan di Johor Bahru ditahan dalam operasi bersepadu, Ops Selera, kelmarin. FOTO Ihsan JIM
Johor Bahru: Seramai 35 penjaja makanan warga asing yang berniaga di sebuah festival makanan jalanan di sini, ditahan dalam operasi bersepadu, kelmarin.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata penahanan itu dibuat dalam Ops Selera yang dijalankan kira-kira jam 8.30 malam.
Katanya, serbuan dibuat susulan maklumat awam berhubung warga asing yang berniaga di situ dipercayai bekerja tanpa pas atau permit yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial.
"Sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa JIM Johor menyerbu lebih 52 gerai dalam festival itu dengan seramai 102 warga asing dan warga tempatan yang berniaga di situ, diperiksa.
"Terdapat cubaan beberapa warga asing melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan di beberapa buah gerai, namun mereka berjaya dihalang sebelum ditahan.
"Kesemua yang ditahan membabitkan 20 lelaki dan enam wanita warga Thailand serta lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, berusia antara 19 tahun hingga 55 tahun.
"Warga asing yang ditahan berikutan melakukan kesalahan sama ada salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS), tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia serta tinggal lebih masa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Rusdi berkata, kesemua warga asing ditahan berkenaan disiasat mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,
Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen1959/63 (Akta 155).
Katanya, sebanyak lima Notis Hadir ke pejabat membabitkan majikan serta pemilik premis juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen bagi membantu siasatan penahanan 35 warga asing ini.
|