AHMAD Zamry (tengah) menunjukkan gambar suspek dan tatu lelaki itu yang menggunakan lambang kumpulan kongsi gelap . FOTO Ahmad Ismail
Segamat: Polis menahan seorang lelaki di Segamat di sini, petang kelmarin, apabila dikesan menjadi anggota kumpulan kongsi gelap berikutan penemuan tatu yang disyaki lambang kumpulan kongsi gelap di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, suspek berusia 30-an itu ditahan di sekitar Batu Anam di sini, kira-kira 4 petang.
"Ketika pemeriksaan, polis menemukan beberapa tatu antaranya pada atas belakang badan dengan lambang kumpulan kongsi gelap
"Siasatan awal mendapati lelaki itu memiliki dua rekod jenayah berkaitan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kegiatan jenayah suspek.
"Individu yang didapati menjalankan sebarang aktiviti pertubuhan kongsi gelap akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 355," katanya.
|