MOHAMAD Safiq (kemeja merah), Salehudin (kemeja putih) dan Norazmi bersama peguam selepas representasi ditolak. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menetapkan Februari tahun depan bagi perbicaraan kes tiga pegawai dan seorang anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang didakwa menggunakan dadah pada April lalu.
Majistret Suhaila Shafi'uddin menetapkan 24, 26 dan 27 Februari itu untuk perbicaraan terhadap empat tertuduh, Norazmi Mohd Rashid, 40, Mohd Ruduan Yahya@Yahaya, 43, Mohamad Safiq Basman, 24, dan Salehudin Idres, 43.
Tarikh itu ditetapkan selepas pihak pendakwaan memaklumkan representasi yang dihantar peguam keempat-empat tertuduh untuk menggugurkan kes ditolak Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN).
Prosiding hari ini adalah untuk keputusan status representasi terbabit, namun mahkamah menetapkan tarikh untuk meneruskan perbicaraan selepas dimaklumkan penolakan daripada PPN.
Mengikut pertuduhan, Norazmi, Mohd Ruduan dan Mohamad Safiq didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamin, menthylenedioxy-amphetamin (MDA) dan methdylenedioxy-methamphetamin (MDMA).
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manakala, Salehudin pula didakwa menggunakan dadah jenis amphetamin, MDA dan MDMA.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.
Hukuman bagi Seksyen 15 (1) (a) ialah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, manakala Seksyen 38B ADB 1952 pula adalah pengawasan polis tidak kurang dua tahun.
Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, antara 6.40 hingga 7 pagi, 28 April lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Azlan Shah Mohd Allias.
Pada 28 April lalu, polis Johor menyerbu sebuah pusat hiburan di Batu Pahat sebelum menahan 49 individu, termasuk 11 penjawat awam.
Disiarkan pada: Oktober 28, 2024
|