Edited by maklukpenggoda at 31-10-2024 02:47 AM
Penghakiman lanjut turut menyatakan, dalam kes itu, Najib sengaja membutakan mata daripada menyiasat asal usul dana 1MDB ke akaunnya adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mendapati tiada motif untuk saksi-saksi dalam 25 pertuduhan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memberi keterangan menganiaya Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan seorang pemimpin tertinggi negara.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan berkata, saksi pendakwaan kelapan (SP), bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengakui telah menerima wang daripada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
“SP50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, 50, juga mengakui bahawa dia diberi wang tunai dan hadiah oleh Jho Low.
“Ahli perniagaan dalam buruan itu juga memberi Jasmine RM100 juta antara tahun 2011 dan 2014 sebagai sebahagian daripada usaha sama mereka untuk membuat pelaburan,” katanya ketika membaca penghakimannya dalam kes itu yang kemudian memerintahkan Najib membela diri bagi kesemua pertuduhan.
Beliau berkata, disebalik dakwaan yang dilemparkan terhadap mereka, saksi-saksi ini bukan rakan sejenayah kerana berterus-terang mengenai penerimaan hadiah.
Dalam hal ini katanya, tiada anggapan dalam undang-undang bahawa senarai saksi itu tidak boleh dipercayai.
Beliau berkata, SP9, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pula, menerima gaji dan bonus untuk jawatannya dalam syarikat.
Sementara SP46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 77, didakwa mempunyai motif tersembunyi, kerana penglibatan ahli keluarganya.
Menurutnya, ia merupakan dana yang besar iaitu AS$681 juta yang mana sejumlah AS$620 juta dikembalikan ke akaun tertuduh.
“Sudah menjadi tanggungjawab tertuduh untuk membuat laporan polis, demi memastikan harta itu diperoleh itu, datang daripada hasil yang menyalahi undang-undang atau sebaliknya.
“Saya mendapati, pihak pendakwaan berjaya membuktikan ‘mens rea’ berkenaan semua tuduhan pengubahan wang haram,” katanya.
Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan memutuskan Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kesemua 25 pertuduhan itu.
Mahkamah juga telah menetapkan bicara bela diri itu bermula pada 2 Disember ini.
Kosmo
|