|
PUTATAN: Seorang wanita maut dan anak lelakinya parah akibat digilis kereta api ketika cuba melintas landasan dekat Kampung Petagas, di sini, hari ini.
Dalam insiden kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa wanita berusia 41 itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya berumur 11 tahun putus kaki kanan dan mengalami kecederaan di tangan serta kepala.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang berjalan pulang ke rumah mereka di Kampung Muhibbah, Petagas, yang terletak di seberang landasan kereta api itu.
Terdahulu, wanita terbabit dikatakan mengambil anaknya itu pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau berkata, kenyataan media akan dikeluarkan selepas pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang selesai membuat siasatan awal di lokasi kejadian.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba Noorsherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.58 tengah hari tadi.
Berdasarkan laporan, beliau berkata, dua beranak itu dirempuh ketika sedang melintas di landasan kereta api yang sedang menuju ke Kota Kinabalu dari Beaufort.
"Wanita terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya parah dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
"asukan bomba melakukan pembersihan di lokasi kejadian, selain membantu mengangkat mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis," katanya sambil memaklumkan operasi ditamatkan pada jam 2.47 petang.
Selepas mayat mangsa dialihkan, kereta api meneruskan perjalanan ke stesen di Tanjung Aru.
Sumber - Berita Harian |
|