|
Enggan perceraian memberi kesan terhadap kehidupan sekeluarga, penyanyi Adira lebih selesa tidak membincangkan hal perpisahan bersama bekas suaminya, Datuk Red dengan anak-anak.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi berkata, empat cahaya mata mereka sudah biasa dengan rutin bapa jarang berada di rumah, sekali gus perceraian tidak mengubah suasana.
“Saya memang tak berbual dengan anak mengenai ‘benda’ (perceraian) sebab sebelum ini, ayah mereka selang sehari tiada jadi mereka dah biasa.
“Apa yang saya usahakan sekarang adalah supaya mereka tak rasa kosong.
“Macam mana sekali pun situasi, saya akan pastikan mengisi ruang yang ada dengan mereka,” katanya dalam sesi bersama Usanita.
Sembang santai yang turut disertai pengacara, Awal Ashaari itu mengupas mengenai penerimaan anak-anak penyanyi terbabit terhadap perceraian antara Adira dengan Datuk Red atau Datuk Seri Adnan Abu sejak tujuh bulan lalu.
Menurut selebriti asal Sabah itu, sehingga kini permata hatinya belum pernah mengajukan pertanyaan berhubung statusnya dengan bekas suami.
“Alhamdulillah setakat ini, belum ada pernah ada soalan yang pelik-pelik dari mereka,” ujarnya.
Bahkan akui Adira, sikap Datuk Red yang memenuhi tanggungjawab dengan kerap menjenguk anak-anak membuatkan mereka tidak terasa sebarang perubahan.
“Ayah dia pun rajin datang tengok. Kadangkala ayah mereka pun datang buat ‘live’ dari rumah, jadi mereka gembira,” ujarnya.
Adira dan Datuk Red bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 24 April 2024 iaitu selepas sembilan tahun bergelar suami isteri.
Begitupun, selepas itu penyanyi terbabit menzahirkan perancangan untuk kembali bersama lelaki terbabit, namun sehingga kini belum menampakkan tanda ke arah itu.
Terdahulu, pasangan terbabit bernikah di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan dikurniakan Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun.
Sumber : Kosmo |
|