YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Kulai 2035 (RTKu 2035) serta KIC3 dan KIGS. | Foto MDJ Wira Anggara
Kulai – Komitmen menjadikan Kulai sebagai Bandar Pintar terkemuka di bawah inisiatif The Greater Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) melancarkan Pusat Arahan dan Kawalan Bersepadu Kulai (KIC3) dan Sistem Geospatial Bersepadu Kulai (KIGS).
KIC3 merupakan pusat kawalan canggih yang mengintegrasikan teknologi terkini dengan fungsi pemantauan keselamatan dan kecemasan, pengurusan trafik dan pengangkutan awam, infrastruktur bandar, bencana serta penguatkuasaan undang-undang.
Bagi tujuan berkenaan, MPKu telah memasang 95 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar berkeupayaan 15 ciri kecerdasan buatan (AI) untuk fasa satu pada tahun ini, dan bakal memasang sebanyak 205 unit lagi menjelang tahun 2026.
Selain itu, MPKu juga sudah membangunkan enam Peta Interaktif menampilkan maklumat seperti lokasi kemudahan awam, zon pembangunan, kawasan hijau dan pelbagai kemudahan lain untuk kegunaan masyarakat di dalam KIGS.
Di dalam sistem sama, lapan Papan Pemuka khusus untuk agensi berkaitan pengurusan data dan maklumat secara sistematik meliputi pelan guna tanah, sempadan mukim, pegangan bercukai, kemudahan masyarakat dan institusi serta lain-lain turut dibangunkan.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor hadir Majlis Pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Kulai 2035 (RTKu 2035) serta KIC3 dan KIGS, hari ini.
|