YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor menyerahkan sumbangan bantuan banjir sebanyak RM20,000 kepada YBhg Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Segamat. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
IskandarPuteri – Fenomena peralihan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku lebih awal berbanding kebiasaan hingga mengakibatkan daerah Segamat dilanda banjir ternyata menjejaskan operasi pengurusan bencana yang telah digerakkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat.
Ia berikutan JPBD Segamat yang dianggotai oleh pelbagai jabatan dan agensi telah melaksanakan pelan dan langkah awal bagi mengurus serta mengawal jangkaan situasi banjir bagi mengelakkan bencana itu menjadi lebih serius di daerah yang terletak di utara Johor itu.
Selain itu, peruntukan berjumlah RM250,000 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada 10 Pegawai Daerah bagi membantu rakyat ditimpa musibah turut disifatkan YBhg Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Segamat mampu untuk memperkukuhkan lagi aspek pengurusan bencana, terutamanya dalam menghadapi cabaran bencana alam seperti kejadian banjir dan ribut.
Peruntukan seumpama itu dilihat amat membantu Pegawai Daerah untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada golongan sasaran yang merangkumi mangsa pelbagai jenis bencana, selain kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membersihkan kawasan terjejas dan seterusnya dapat membantu mereka membina semula kehidupan pasca bencana.
Pendekatan yang lebih holistik dan mesra yang diambil oleh Kerajaan Negeri amat diharapkan oleh rakyat bagi memastikan kebajikan mangsa banjir akan terbela dan sentiasa mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak berwajib.
Sehingga kini, sebanyak 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan 892 penduduk terdiri daripada 256 keluarga di Segamat dengan proses pemindahan penduduk telah dilaksanakan secara teratur dan tertib bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan mereka sentiasa terjamin.
|