Johor Bahru: Tiga kereta yang diletakkan di parkir awam dirempuh sebuah lori disyaki dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di Jalan Impian Emas 6, Taman Impian Emas di sini, 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian berlaku ketika lori itu digerakkan ke hadapan sebelum diundur hingga merempuh tiga kenderaan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 29 tahun yang memandu lori itu disyaki di bawah pengaruh alkohol.
Menurutnya, pemandu lori itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara untuk saringan alkohol dan ujian pernafasan.
Katanya, keputusan ujian mendapati kedua-duanya positif dengan kadar alkohol melebihi had dibenarkan.
"Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Siasatan juga dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Disiarkan pada: Disember 4, 2024
|