Suspek kes bunuh ibu kandung yang bergari tangan dan memakai baju lokap berwarna ungu tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kluang di Johor dengan dikawal angggota polis pada jam 9 pagi. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Kluang: Mahkamah Majistret Kluang membenarkan perintah reman tujuh hari bermula hari ini terhadap suspek kes menikam ibu kandung hingga maut di Felda Ayer Hitam, di sini.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno.
Sebelum itu, suspek yang bergari dan memakai baju lokap berwarna ungu tiba di perkarangan mahkamah dengan dikawal anggota polis pada 9 pagi.
Reman ke atas suspek berusia 20-an dibuat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Semalam, Harian Metro melaporkan wanita berusia 50-an maut dipercayai ditikam dengan pisau di belakang badan oleh anaknya di Felda Ayer Hitam, di sini, kira-kira 10.45 pagi.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dipetik berkata, pihaknya menerima laporan mangsa ditemukan terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di bahagian badan.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini.
Suspek kemudian ditahan di Felda Ayer Hitam pada 11 pagi semalam.
Disiarkan pada: Disember 5, 2024
|