Johor Bahru: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun cedera selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Susur Larkin Perdana 2 di sini Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada 8 malam ketika kanak-kanak itu yang bersama bapa saudaranya, melintas jalan.
"Kanak-kanak itu cedera di bahagian tulang belikat kanan serta luka-luka di bahagian muka, dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kereta disyaki melarikan diri selepas kejadian, dan kes disiasat mengikut Peraturan 41 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu pejalan kaki cuai melintas jalan.
Raub berkata, rakaman video kejadian turut tular di media sosial dan beliau memohon saksi kejadian tampil memberi keterangan di Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Wan Nuralia Asyikin Wan Ibrahim dengan menelefon 018-9614064.
Disiarkan pada: Disember 5, 2024
|