Kulai: Penjaga sebuah rumah anak yatim di Taman Mas, di sini ditahan bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan berusia 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, lelaki berusia 59 tahun itu ditahan susulan laporan diterima pihaknya pada 29 November lalu.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah jagaan anak yatim swasta di Taman Mas, Kulai di sini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah penghuni di rumah anak yatim terbabit.
"Mangsa disyaki dirogol antara 2020 hingga 2022. Ketika kejadian mangsa berusia 13 hingga 15 tahun," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira 3 pagi pada 30 November, polis membuat serbuan dan menangkap di sebuah rumah di Taman Mas di sini, dan dibawa ke IPD Kulai untuk siasatan lanjut.
Katanya, suspek direman dari 30 November 2024 hingga 10 Disember.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.
|