Pasukan MARK III diketuai Norhazlina (kanan) membawa cabaran negara pada Grand Final All Japan Robot Sumo Tournament 2024 di Tokyo selama dua hari, bermula hari ini. - Foto ihsan Politeknik Port Dickson
PORT DICKSON: Politeknik Port Dickson (PPD) mencipta sejarah apabila seorang pelajarnya terpilih mewakili Malaysia pada Grand Final `All Japan Robot Sumo Tournament' 2024 di Tokyo, selama dua hari bermula hari ini.
Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PPD, Norhazlina Amon berkata Alif Iskandar Ahmad Afandi, 20, pelajar diploma program Mekatronik mewakili pasukan MARK III.
"Mereka terpilih selepas menjuarai pertandingan ROBOT Sumo 3 Kilogram Magnetik anjuran PETROSAINS di Stadium Juara Bukit Kiara pada 26 dan 27 November lalu," katanya ketika dihubungi.
Norhazlina berkata kesinambungan dari pertandingan itu, PETROSAINS mendapat tiket penyertaan dari penganjur All Japan Robot Sumo Tournament 2024 untuk menghantar wakil ke sana.
Katanya, PETROSAINS kemudian memberikan tawaran tiket pertandingan itu kepada pasukan MARK III dengan kos perbelanjaan sendiri ke sana.
"Aliff Iskandar yang mewakili negara memang seorang pelajar yang aktif dalam bidang robotik. Beliau mewakili PPD dalam pertandingan peringkat kebangsaan setiap tahun dari beliau semester satu lagi.
"Dia juga aktif dalam beberapa pertandingan - pertandingan robot sumo yang lain atas dasar minatnya yang mendalam memudahkan tugas bagi melatihnya mahir mengendalikan robot," katanya.
Norhazlina berkata beliau sebagai penasihat pasukan akan turut mengiringi Aliff bersama tiga alumni PPD iaitu Muhammad Faiz Abdol Jalil, Muhammad Zaki Zakaria, dan Iszuzuldin Amirull Mohd Janudin.
"Saya berharap pasukan Mark III akan dapat membawa nama baik pasukan, institusi dan negara Malaysia ke puncak dunia. Doakan kami," katanya.
|