Kulai: Pesara berusia 65 tahun terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM873,000, selepas diperdaya pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan keuntungan sehingga 30 peratus dalam masa singkat.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa lelaki tempatan berhubung kejadian itu semalam.
Katanya, mangsa membuat pelaburan selepas dijanjikan keuntungan 10 peratus hingga 30 peratus dalam tempoh tiga hari.
"Suspek mendakwa wang keuntungan akan dimasukkan ke dalam akaun aplikasi pelaburan milik mangsa.
"Tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan mangsa telah membuat 19 transaksi pembayaran berjumlah RM873,000 ke dalam tujuh akaun bank tempatan bermula 18 Oktober hingga 27 November lalu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tan berkata, mangsa membuat semakan akaun dalam aplikasi pelaburan miliknya dan mendapati keuntungan yang dipaparkan sebanyak RM 2.35 juta.
Katanya, mangsa mahu membuat pengeluaran wang dari aplikasi pelaburan miliknya namun disekat.
"Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat laporan polis berhubung kejadian," katanya yang memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu pelaburan tidak wujud.
|