Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor menyelamatkan remaja 17 tahun, dipercayai menjadi mangsa rogol pemilik sebuah pusat jagaan anak yatim swasta di Kulai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail berkata, tindakan diambil menerusi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai dan siasatan sudah dijalankan sejak 5 Disember lalu.
Katanya, pihak polis juga sudah menahan suspek berkenaan untuk siasatan lanjut.
"Kesemua penghuni di pusat jagaan kini berada dalam keadaan selamat dan JKM sedang membuat pemantauan terhadap pusat jagaan ini.
"Kerajaan negeri akan sentiasa memastikan kesemua pusat jagaan di Johor, khususnya pusat jagaan kanak-kanak berada di bawah pemantauan JKM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee dilapor berkata, suspek lelaki berusia 59 tahun ditahan susulan laporan diterima pihaknya pada 29 November lalu.
Pusat jagaan sama turut tular di media sosial apabila rakaman menunjukkan seorang lelaki dipercayai suspek, memukul kanak-kanak perempuan dengan pembaris kayu panjang.
Mengenai kes disyaki dera itu, Tan mengesahkan menerima laporan pada 10.29 malam semalam dan siasatan awal mendapati ia berlaku di pusat jagaan swasta di Taman Mas, Kulai, membabitkan mangsa iaitu penghuni berusia 10 tahun.
"Mangsa telah dipukul oleh lelaki tempatan berusia 59 tahun yang juga penjaga rumah anak yatim tersebut pada Oktober lalu.
"Suspek sebelum ini telah ditahan pada 30 November lalu bersabit kes rogol dan masih dalam tahanan reman sehingga esok.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001," katanya.
|