ANGGOTA bomba melakukan pencarian remaja lemas di kawasan loji air berhampiran Jalan Utama, Felda Cahaya Baru, Masai, petang tadi. FOTO ihsan Bomba.
Johor Bahru: Remaja lelaki berusia 14 tahun lemas selepas terjatuh ketika menjala ikan bersama tiga rakannya di loji air berhampiran Jalan Utama, Felda Cahaya Baru, Masai, petang tadi.
Mohamad Saril Masrabi ditemui pada jarak tiga meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Sarhan Akmal Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.17 petang dan 11 anggota ke lokasi diketuai Komander Operasi, PBK II Ramli A Hamid.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan menggunakan peralatan termasuk tali sepanjang 15 meter dan berhampiran pintu air.
"Mangsa berjaya ditemui pada 5.25 petang, kira-kira tiga meter dari lokasi tempat mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Disiarkan pada: Disember 10, 2024
|