CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 22110|Reply: 0

[Johor] Usia persaraan 64 tahun tidak sesuai dengan realiti ekonomi, demografi Malaysia - Pakar

[Copy link]
Post time 17-12-2024 04:49 PM | Show all posts |Read mode

GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP

Johor Bahru: Syor menaikkan usia persaraan kepada 64 tahun bagi meningkatkan simpanan asas persaraan rakyat negara ini seperti dilakukan Singapura, tidak sesuai dilaksanakan susulan perbezaan demografi, struktur ekonomi dan cabaran dalam pasaran kerja.

Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Siti Aisyah Panatik berkata, langkah Singapura yang mengumumkan had usia persaraan yang dinaikkan kepada 64 dan 69 tahun minggu lalu, berikutan taraf hidup yang lebih tinggi di republik itu dengan penjagaan kesihatan yang lebih baik serta peluang pekerjaan yang sesuai bagi warga emas negara berkenaan.

Sebaliknya Malaysia katanya, mempunyai struktur demografi yang berbeza dengan Singapura, susulan kadar kelahiran negara yang lebih tinggi dan populasi yang lebih muda berbanding republik itu.

Oleh itu katanya, meningkatkan usia persaraan kepada 64 tahun tidak sepadan dengan realiti demografi negara berbanding Singapura.

"Bagi ramai pekerja, meningkatkan usia persaraan bermakna mereka mungkin tidak lagi mampu untuk terus bekerja pada tahap yang optimum kerana masalah kesihatan yang berkaitan dengan usia, sekali gus boleh menurunkan kualiti hidup mereka, terutamanya dalam sektor yang memerlukan tenaga fizikal yang tinggi.

"Jika pekerja lebih tua terus berada dalam tenaga kerja negara, ia boleh menyebabkan pengangguran dalam kalangan generasi muda, terutamanya dalam sektor yang menawarkan peluang pekerjaan yang terhad apatah lagi kadar pengangguran belia di Malaysia ketika ini pun meningkat kepada 10 peratus.

"Meskipun simpanan persaraan akan meningkat dengan usia persaraan yang lebih tinggi, namun tidak semua pekerja akan mempunyai peluang atau akses untuk menambah simpanan mereka, terutamanya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah yang sukar menyisihkan wang untuk simpanan persaraan.

"Bekerja lebih lama juga boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan mental pekerja, terutama jika mereka menghadapi tekanan pekerjaan yang tinggi atau merasa tidak dihargai. Peningkatan usia persaraan juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan dalam keluarga, kerana individu yang lebih tua terpaksa menangguhkan masa bersara mereka," katanya ketika dihubungi.

Khamis lalu, penanda aras simpanan asas persaraan dilaporkan dinaikkan kepada RM390,000 menjelang 1 Januari 2028 berbanding RM240,000 sekarang menurut Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagi melaksanakan peralihan secara berfasa, KWSP dalam satu kenyataan berkata, jumlah simpanan asas akan dinaikkan secara berperingkat sebanyak RM50,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun dengan RM290,000 menjelang 1 Januari 2026; RM340,000 menjelang 1 Januari 2027 dan RM390,000 menjelang 1 Januari 2028.

Minggu lalu, usia persaraan kakitangan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di Singapura dilaporkan akan dinaikkan kepada 64 tahun, dan jika layak dan masih mampu bekerja lagi, dilanjutkan lagi sehingga 69 tahun, mulai 1 Januari 2025.

Gerakan pekerja itu, dalam satu kenyataan pada 9 Disember lalu dilaporkan mengumumkan bahawa perubahan kepada usia persaraan dan usia boleh bekerja lagi dimulakan satu setengah tahun lebih awal dari jadual yang wajib dilaksanakan di republik berkenaan.

Had umur pencen di Malaysia sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun, bermula pada 2001 apabila umur bersara penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun dan kemudian pada 2008, dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun.

Perubahan sekali lagi disaksikan pada 2012 apabila had usia persaraan dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun

Dalam pada itu, Siti Aisyah yang juga pakar Psikologi Industri dan Organisasi berkata, peningkatan umur persaraan secara menyeluruh juga akan meningkatkan kos perubatan yang ditanggung majikan susulan kebanyakan syarikat insurans tidak berminat untuk memberikan perlindungan kepada pekerja yang lebih tua.

Justeru katanya, kajian terperinci perlulah dilakukan sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan usia persaraan supaya langkah itu bersesuaian dengan keadaan semasa negara selain tidak mendatangkan impak negatif.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia boleh mempertimbangkan pendekatan alternatif seperti memperbaiki sistem simpanan persaraan bagi meningkatkan asas simpanan persaraan rakyat negara ini.

"Ia boleh dilakukan dengan menggalakkan lebih banyak sumbangan kepada KWSP atau memperkenalkan insentif baharu selain memperbaiki akses kepada latihan kemahiran dan kesihatan untuk membantu pekerja yang lebih tua kekal produktif dalam pasaran kerja.

"Pendekatan lain yang boleh diaplikasikan ialah mengamalkan polisi penggajian semula kepada pekerja berumur 60 tahun ke atas secara kontrak yang memberikan kelonggaran untuk kedua-dua pihak iaitu pekerja dan majikan," katanya.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 03:43 PM GMT+8 , Processed in 0.046961 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list